Monday, November 11, 2013

Kisah Benar tentang Kekuatan Melayu-Melaka yang dipandang Enteng

Assalamualaikum....

Post sebelum ini adalah berkenaan Asal Usul Melayu 2 yang berkisar tentang teori penghijrahan...

Kali ini kami ingin paparkan satu episod dalam Kegemilangan Empayar Melayu Melaka. Walaupun kita orang Kelantan, sejarah Melaka tidak boleh dipandang ringan, kerana Puteri Onang Kening, puteri kepada Tuanku Mansur Syah, Sultan Kelantan 1467-1521 yang dikahwinkan dengan Sultan Mahmud Shah 1488-1511, setelah Kelantan ditawan oleh perajurit Melaka yang dipimpin oleh Tun Mutahir.

Renungkan dan fikirkan sejenak... Hebatnya Orang Melayu.... Namanya gah di Persada Dunia ..... Namun kerana kedangkalan pada diri, kita menidakkan tentang Bangsa Ini.... Mengkolotkan bangsa ini. Sedarlah sahabat-sahabat sekalian, Melayu bukan Bangsa Terpinggir, Melayu Bukan Bangsa Merempat. Namun Melayu juga bukan Bangsa Yang Menongkat Dagu....

Bersatulah di bawah Panji-Panji ISLAM demi KEGEMILANGAN BANGSA MELAYU...


Asal Usul Melayu 2

Audio dan Video ini diterbitkan oleh Unit Pengembangan RISDA Negeri Sembilan yang menceretrakan Asal Usul Bangsa Melayu seperti mana artikel awal kami dahulu.

Ikuti dan cernakan maklumat Video ini. Ini bukan mustahil atau omongan kosong.

Sumber : YouTube
Penerbit : Unit Pengembangan RISDA N9.


**Penulisan artikel tentang "Kerajaan Malayu" masih lagi berlangsung. Namun ia mengambil sedikit masa kerana kami sedang mensiap siagakan Kelab Pencinta Sejarah Kelantan untuk tahun 2014.

Monday, November 4, 2013

Kerajaan Malayu : Pengenalan

Sebelum ini kami pernah terbitkan artikel yang bertajuk “Melayu darimana kah kita”. Sudah kita jelaskan tentang teori penghijrahan itu hingga berkembangnya negeri-negeri Melayu pada kurun yang lalu. Kali ini, kami ingin mengetengahkan kepada umum sebuah negeri yang bernama MELAYU/MALAYU.

Sebut tentang Melayu pasti  kita skeptikal dengan 14 buah negeri di Malaysia. Cuba luaskan sedikit pemikiran anda.... lalu pastinya anda akan membilang negeri-negeri seperti Patani, Champa dan Acheh. Jika anda seorang pengkaji wajib terlintas akan kerajaan di Palembang dan sinonim terpaut dengan Sriwijaya. Maka berlangsunglah perbahasan yang tidak sudah melalui media sosial popular, Facebook.

Namun, kita tidak salahkan anda. Maklumat tentang Sriwijaya amat banyak sekali dan perbincangan mengenainya amat menarik ditambah lagi, saban hari terdapat artifak baru dijumpai di Sumatera itu. Ambil nafas dalam-dalam dan renungkan seketika peta Sumatera, pasti anda akan nampak Jambi, bawah sikit Palembang anda akan jumpa perkataan Malayu dan Tasik Malaya. Lantas kita akan berkata;

Aik cam mana ada nama Malaya ni? Bukan ke Orang Putih bagi istilah ni...kenapa ada di Sumatera?

Kami akan menjelaskan mengenai misteri nama Malaya dan Melayu wujud di Sumatera dalam untaian seterusnya.

LOKASI DAN KERAJAAN SILAM

Sungai seringkali menjadi pilihan untuk kerajaan-kerajaan silam membina kota pentadbiran. Pelbagai faktor mengapa kota ini dibina berdekatan dengan sungai dan ramai antara kita sudah maklum mengenai perkara ini. Begitu juga dengan Malayu, dalam hal ini kita akan menyoroti tentang sebatang sungai di Sumatera yang dikenali sebagai Sungai Batanghari di Jambi.

Kota maritim yang berkembang menjadi kota besar kebiasaannya terletak di tepi sungai besar. Begitu juga dengan Jambi yang sejak dahulu terletak di tepi Sungai Batanghari. Pelabuhan Jambi dahulunya dipercayai merupakan sebuah pelabuhan sungai. Sungai Batanghari yang lebarnya kira-kira 500 meter dan panjangnya lebih dari 800 km, sesuai untuk pelayaran sungai, sekurang-kurangnya bermula dari muara sungai hingga ke Kota Jambi sekarang.

Sejak diawal peradaban manusia di Sumatera, Pulau ini dikenali sebagai sebuah pulau yang menghasilkan emas. Kawasan yang mengandungi emas terletak di daerah kaki Bukit Barisan yang terkandung dalam Provinsi Bengkulu dan Sumatera Barat.  Banyaknya emas dibumi bertuah itu maka pulau ini dikenali sebagai Suvarnadwipa (Pulau Emas) oleh pedangang India pada zaman silam. Oleh kerana itu, banyak kerajaan  di Pulau Sumatera berusaha meguasi daerah penghasil emas ini.

Lantas di kawasan Sungai Batanghari telah muncul dua kerajaan yang saling berkait rapat dengan Jambi iaitu Kerajaan Malayu dan Kerajaan Sriwijaya. Dua kerajaan ini saling mendominasi daerah Batanghari dan Jambi. Antara dua kerajaan ini, Kerajaan Malayu yang paling menonjol dan paling lama kewujudannya.
Catatan sejarah menyatakan bahawa kerajaan ini disebut pada pertengahan abad ke-7 Masihi dan masih memegang peranan penting hingga abad ke-14. Setelah zaman itu, walaupun nama Malayu masih digunapakai tetapi bentuk pentadbirannya sudah berubah menjadi bentuk pemerintahan yang bercorak Islam (Kesultanan).

CATATAN  SILAM

Sejarah Negara China pada Dinasti Tang (abad ke-7 hingga abad ke-10) buat pertama kali ada menyatakan kunjungan utusan dari negeri Mo-lo-yeu ke China pada tahun 644-645 Masihi, dalam catatan Arab zaman Khalifah Muawiyah (661-681 Masihi) ada disebut tentang nama negeri Zabag sebagai bandar lada terbesar di Sumatera bahagian selatan. Istilah Zabag dapat dikenalpasti dengan (muara) Sabak, di daerah muara Sungai Batanghari.

Namun catatan kuno seterusnya menyatakan bahawa Kerajaan Malayu ini telah diatasi oleh Kerajaan Sriwijaya dalam penguasaan lubuk emas ini. Ketika Sriwijaya menjadi lemah akibat dari serangan Cola, Malayu telah bangkit kembali. Sebuah Prasasti yang ditemui di Srilanka menyebutkan bahawa pada zaman pemerintahan Vijayabhanu di Srilanka (1055-110 Masihi), Raja Suryanarayana di Malayapura (Malayu) berjaya menguasi tampuk pemerintahan di Swarnnapura (Sumatera).

Malayu merupakan sebuah kerajaan yang dianggap penting. Kewujudan kerajaan ini selalu diakui oleh kerajaan-kerajaan lain. Sebuah kerajaan besar lain akan menghintung kewujudan kerajaan Malayu, misalnya Sriwijaya dan Majapahit.

Nagarakertagama menyebutkan bahawa Malayu lebih dahulu dan menyatakan sebagai sebuah negara terpenting di bawah kekuasaan Majapahit. Wilayah kekuasaan kerajaan ini meliputi seluruh daratan Pulau Sumatera, dari hujung barat laut hingga hujung tenggara. Beberapa daerah merupakan “bawahan” Malayu seperti Jambi, Dharmmasraya, Kandis dan Manankabwa yang berlokasi di daerah Sungai Batanghari. Jambi mula-mula disebut kerana Jambi mungkin merupakan tempat  yang paling penting, bukan sahaja sebagai ibu kota kerajaan. Pada zaman Majapahit, ibu kota Kerajaan Malayu sudah berlokasi di Dharmmasraya, iaitu di hulu Batanghari.


Begitulah pengenalan tentang kerajaan yang bernama Malayu ini. Artikel seterusnya akan kami paparkan tentang kesan-kesan kerajaan yang wujud di Jambi terutama kesan Kerajaan Malayu ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...