Friday, July 12, 2013

CAMPA : Bahagian 3

Binaan Candi di Phanrang (Pandurangga) kini didalam Vietnam

Semasa pemerintahan Dinasti Song di China, raja-raja Campa seperti Jaya Indrawarman I dan Parameswarawarman begitu taat setia dan patuh kepada Kerajaan China itu. Diantara 960 – 979 Masihi, sebanyak 12 utusan telah dikirimkan menghadap Maharaja China.

Semasa pemerintahan Parameswarawarman, telah berlaku pergeseran antara Campa dengan Kerajaan Dai Viet (Vietnam). Pada tahun 982 Masihi, pemerintah Dai Viet, Le Hoan telah menyerang Campa dan membunuh Parameswarawarman serta menawan ibu kotanya, Indrapura. Penggantinya iaitu Indrawarman IV telah cuba untuk mendapatkan bantuan dari China pada tahun 985 Masihi tetapi gagal.

Setelah kemangkatan Indrawarman IV, takhta telah dirampas oleh seorang bangsa Vietnam yang bernama Luu Ki-tong dan mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Campa pada 986 Masihi. Tindakan orang Vietnam ini telah menimbulkan marah seluruh rakyat, akan tetapi mereka tidak sanggup melawan orang Vietnam yang kuat dan ramai itu. Oleh kerana itu ramai rakyat Campa berhijrah ke Hainan dan Canton di tenggara China. Penghijrahan ini berlaku dalam masa tiga tahun iaitu pada tahun 986, 987 dan 988 Masihi. Penghijrahan ini dipimpin oleh rakyat Campa yang beragama Islam. Penghijrahan 986 Masihi dipimpin oleh Pu Lo E, kumpulan migran 987 dipimpin pula oleh Li Nian Bing dan kumpulan mingran 988 pula diketuai oleh Hu Xuan.

Perkataan Hu Xuan dikenal pasti sebagai nama Islam iaitu Husain, manakala perkataan Pu telah diterima umum sebagai ganti perkataan Arab yang bermaksud Abu.  Berkemungkinan besar, pelarian-pelarian Campa ini adalah orang Cam Islam yang mungkin dipaksa oleh Luu Ki-tong menukar agama mereka menyebabkan mereka meninggalkan Campa.

Setelah Luu Ki Tong meninggal pada 988 Masihi, orang Cam telah bangkit memberontak di bawah pimpinan seorang yang dikenali sebagai Hariwarman II dan beliau telah dirajakan di Wijayapura. Tidak lama kemudian baginda telah memindahkan pusat pentadbiran ke Indrapura. Semasa pemerintahan Hariwarman II ini, Campa sering diancam oleh pihak Vietnam. Oleh itu pasda masa pemerintah berikutnya yang hanya dikenali sebagai Yang Pu Ku Wijaya Sri, pusat pemerintahannya kembali ke Wijayapura di selatan.

Yang Pu Ku Wijaya Sri ini telah digantikan oleh seorang yang dikenali sebagai Hariwarman III pada tahun 1009 Masihi. Baginda hanya sempat memerintah selama 10 tahun. Dalam masa pemerintahan penggantinya yang dikenali sebagai Parameswarawarman II sekali lagi orang Campa dikalahkan oleh pihak Vietnam pada 1026 Masihi. Pada tahun 1044 Masihi tentera Dai Viet sekali lagi menyerang Campa dan kali ini memusnahkan ibu kotanya, Wijayapura. Pemerintah Campa pada waktu itu, Jaya Simhawarman II telah dikenakan hukuman pancung.

Penggantinya adalah seorang daripada panglima Campa yang dikenali sebagai Jaya Parameswarawarman I. Salah sebuah prasasti yang ditinggalkannnya menyatakan bahawa baginda tidak diterima oleh penduduk Pandurangga (Phan-rang) sebagai raja mereka. Hal ini berlaku kerana penduduk Pandurangga ketika itu sudah beragama Islam dan mereka menolak seorang Raja yang beragama Hindu. Berpunca dari penolakan ini Jaya Parameswarawarman I telah menyerang penduduk Pandurangga yang beragama Islam dan menawan mereka pada tahun 1050 Masihi. Sebagai simbol kemenangan ini, Jaya Parameswarawarman telah mendirikan sebuah lingga di atas bukit Po Klaung Garai yang berhampiran dan menegakkan tugu kemenangan. Baginda juga telah menjalinkan perhubungan berbaik-baik dengan pihak Dai Viet dan China. Campa telah mengirimkan utusan ke China pada tahun 1050, 1053 dan 1056 Masihi.

Bersambung : Bahagian 4

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...