Monday, June 10, 2013

PERADABAN AWAL DI ASIA TENGGARA : HOABINHIAN


3 Artikel yang telah dipost sebelum ini dengan tajuk Melayu dari Mana KitaSebenarnya, Melayu Siapa kita Sebenarnya: Peradaban Melayu Prasejarah dan Melayu Siapa kita sebenarnya : TeoriPenghijrahan telah megupas dari mana sebenarnya Bangsa Melayu ini. Namun ia tidak menjelaskan dengan lanjut tentang peradaban manusia Asia Tenggara pada masa itu.

Peradaban adalah bermaksud kebudayaan, tamadun,kemajuan (fizikal dan mental) serta kecerdasan secara zahir dan batin, dari maksud ini kita boleh jelaskan peradaban manusia ialah kemajuan yang dicapai dalam membuatkan kehidupan manusia itu lebih baik dan maju dari segi mental dan fizikal.

Balik kepada peradaban awal di Asia Tenggara, manusia yang menghuni Asia Tenggara sejak bermulanya Zaman Batu telah berusaha memajukan rantau ini. Faktor geografi memainkan peranan penting dalam perkembangan tamadun mereka. Justeru itu, manusia pada waktu itu berusaha meneroka di kawasan yang bercuaca panas dan mempunyai musim kering yang jelas (kawasan Monsun Tropika). Kawasan-kawasan ini juga mempunyai tanah yang subur hasil daripada letusan gunung berapi atau mendapan lanar dari sungai-sungai utama. Pada masa itu, kawasan Dataran Tinggi Korat (daratan/tanah besar) dan Timur Jawa (kepulauan) merupakan pilihan.

Menjelang 12.000 – 8.000 SM telah terbentuk beberapa peradaban di sekitar kawasan yang diteroka itu. Wujud perbezaan yang agak jelas di antara dua peradaban yang berkembang di kawasan yang berlainan ini. Di tanah besar telah wujud beberapa peradaban dalam zaman Mesolitik, akan tetapi yang jelas diikuti ramai ialah satu tamadun yang dikenali sebagai tradisi Hoabinihian. Tradisi ini dikatakan telah berkembang antara 9.000 – 5.000 SM. Namun, sebelum berkembangnya tradisi ini telah sedia wujud satu tradisi yang lebih tua dan dikenali sebagai Son vi yang telah berkembang sekitar 16.000 – 9.000 SM. Di tanah Kepulauan, kecuali di kawasan Sumatera Utara telah berkembang satu peradaban yang berlainan sedikit daripada tradisi Hoabinhian. Tradisi ini tidak diberi nama khas, ia hanya dikenali sebagai tradisi alat-alat batu serpih (flaked-tools tradition).

Berikut dikongsikan ciri-ciri antara dua peradaban ini:

TRADISI HOABINHIAN
TRADISI ALAT-ALAT BATU SERPIH
Tradisi ini dipercayai telah wujud dalam Zaman Mesolitik di Asia Tenggara. Ciri-cirinya adalah:
(a)    Alat pemotong daripada batu yang agak kasar diperbuat daripada batu-batu sungai yang ditajamkan di sebelahnya sahaja. Terdapat juga alat-alat yang diperbuat dari tulang.
(b)   Orang zaman ini telah pandai membuat takar air daripada tanah liat.
(c)    Mereka hidup berburu binatang besar dan menangkap ikan.
(d)   Mereka dipercayai telah mempunyai kepercayaan kepada alam ghaib.
(e)   Mereka mengamalkan upacara pengkebumian yang teratur.
(f)     Mereka juga telah mempunyai tradisi kesenian yang agak halus.
(g)    Mereka dikatakan telah pandai menggunakan damar untuk pelita/suluh.
(h)   Di samping berburu mereka memungut makanan terutama daripada jenis kacang. Jumpaan daripada tempat peradaban ini, mereka nampaknya telah menggunakan sirih.
(i)      Mereka hidup berpuak-puak dan berpindah randah.
Tradisi ini berkembang di kawasan kepulauan dan kawasan tengah Sumatera hinggalah ke Irian. Ia terbahagi kepada 2 kumpulan utama. Satu kumpulan terdapat di pulau-pulau di selatan, dari Sumatera tengah hingga ke timur dan satu kumpulan lagi dijumpai di kepulauan yang keutara seperti di Filipina dan Sulawesi.

CIRI-CIRI UTAMA MEREKA
Kumpulan Pertama
Kumpulan Kedua
-Menggunakan alat-alat batu yang kecil tetapi tajam yang dikenali sebagai mikrolit
-Hidup dengan memburu binatang kecil, menangkap ikan dan mengumpul siput dan kerang.
-Mula menggunakan tembikar sekitar 6.000-5.000SM
-Mula berternak sekitar 3.000SM
-Mereka menggunakan alat-alat batu yang lebih besar.
-Mereka memburu binatang yang lebih besar.
-Mereka mula berternak dan menanam padi sekitar 6.000-4.000SM

Pengebumian Tradisi Hoabinhian

Perkembangan budaya ini telah bermula dari Zaman Mesolitik hingga memasuki Zaman Neolitik. Akan tetapi di sesetengah tempat di Asia Tenggara ini, Zaman Neolitik ini tidak jelas. Seolah-olah berlaku satu lompatan dari Zaman Mesolitik kepada Zaman Logam. Hal ini telah dijelaskan oleh Semanov bahawa perkara ini berlaku kerana alat-alat tukang Hoabinhian telah digunakan untuk membuat alat-alat kayu dan buluh yang lebih canggih. Alat-alat ini tidak mungkin dapat kekal untuk dikaji oleh ahli-ahli kaji purba kerana ia mula mereput dan terbakar. Sementara itu, di kepulauan jawa upamanya telah menghasilkan alat-alat batu yang lebih licin dalam Zaman Neolitik, di Korat pada waktu yang sama iaitu kira-kira 3500SM telah menghasilkan bahan-bahan gangsa (perunggu). Perkara ini menjelaskan perkembangan budaya yang tidak selari walaupun dalam kawasan yang berhampiran.


Perkara ini telah mewujudkan terdapat komuniti yang maju sebagai masyarakat pertanian,ada yang sebagai pelaut, manakala pada masa yang sama terdapat puak-puak yang meneruskan cara hidup berburu dan mengumpul makanan.

Pada Zaman Neolitik juga terdapat pendatang baru dari utara, iaitu golongan Mongoloid-Indonesiod dan bermulalah satu peradaban baru disekitar Asia Tenggara. Peradaban ini berkembang di sekitar kepulauan dan disemenanjung dikenali dengan alat-alat tukang yang diperbuat daripada batu-batu keras yang diasah dan digilap. Alat-alat itu sama ada berbentuk segi empat atau sudut empat bujur. Salah satu hujungnya merupakan mata pemotong seperti beliung atau pahat. Beliau digunakan untuk membuat perahu atau rumah manakala pahat digunakan untuk membuat ukiran. Peralatan sebegini banyak dijumpai di Jawa, Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu. Beliung-beliung yang diperbuat daripada batu-batu permata (semi-precious) banyak dijumpai di Jawa menunjukkan bahawa telah wujud satu tamadun yang agak tinggi di pulau itu dalam Zaman Neolitik.

Sebenarnya penduduk di sekitar tanah besar terutama di Korat lebih maju berbanding pendudk di kepulauan kerana mereka telah mengenali alat-alat logam terutama gangsa. Teknologi membuat peralatan dari gangsa ini telah mereka kuasai sekitar 3500 – 3000 SM. Hal ini telah memudahkan mereka membuka kawasan pertanian. Kerana  itu, sejak 3500 SM kawasan timur laut Thailand telah pun mula bercucuk tanam dan membela haiwan.

Teknologi tentang logam ini hanya sampai ke kepulauan sekitar 2000 SM. Ianya dipercayai diimport dari tanah besar. Perhubungan perdagangan dipercayai telah wujud di sekitar Asia Tenggara seawal 2000 SM, walaupun kajian mendalam mengenai hal ini masih belum sempurna, dipercayai perdagangan antarabangsa di antara kawasan Asia Tenggara ini dengan India telah bermula sejak 1000 SM.


Seperti kita ketahui bahawa logam telah diperkenalkan ke kepulauan sekitar 2000 SM, ianya tidak bermakna Zaman Batu berakhir di sini. Zaman Batu Baru (Neolitik) terus wujud disesetengah tempat Asia Tenggara ini hingga ke-300 SM. Alat-alat batu ini terus digunakan bersama-sama logam sehingga logam menjadi bahan mudah diperolehi dan sedikit demi sedikit alat-alat batu itu dikurangkan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...