Thursday, June 20, 2013

Hipotesis Kastria

Gambar Hiasan : Gambaran tentang peperangan dikalangan wira-wira India Purba

Pedahuluan

Kita sudah membincangkan tentang Hipotesis Visya yang dikemukakan oleh N.J. Krom dan G.Coedes yang pada posting sebelum ini. Ringkasnya Hipotesis Visya ini menjelaskan bahawa pembudayaan India telah dibawa oleh orang India dari Kasta Visya. Dalam hipotesis ini, Krom menjelaskan orang Visya ini datang untuk berdagang dan kemudiannya berkahwin dengan wanita tempatan dan bermastautin di rantau ini, kemudiannya mereka telah menjemput pendeta-pendeta Hindu dari India untuk melengkap pelajaran anak-anak mereka. Walaupun begitu, teori Visya oleh Krom ini telah dipersoalkan oleh Coedes dan beliau telah menyatakan bahawa orang Visya ini datang ke Nusantara kerana mencari Emas melalui aktiviti perdagangan. Coedes juga menyatakan bahawa pendeta yang berjaya mempengaruhi raja di Nusantara itu bukan pendeta Hindu tetapi pendeta Budha. Ini kerana fahaman Brahminisme tidak membenarkan mereka bercampur dengan orang asing dan juga menyeberangi "air hitam" dan ianya berlainan dengan Budha.     

Hipotesis Kastria

Kini mari kita lihat tentang satu lagi Hipotesis pembudayaan India iaitu Hipotesis kastria. Ianya diperkenalkan oleh C.C Berg dan mendapat sokongan sebahagian besar dari anggota Greater India Society serta seorang sarjana Belanda, Moens. Hipotesis ini dikatakan bahawa Budaya India ini telah disebarkan ke Asia Tenggara ini melalui kegiatan pahlawan atau anak raja India iaitu dari golongan kasta Kastria. Mereka dikatakan telah keluar dari India untuk mencari tanah-tanah jajahan baru kerana perebutan kuasa dalam negeri atau sebagai pelarian politik.


Mengikut adat yang biasa diamalkan di India, hanya putera sulung yang berhak keatas takhta setelah kematian bapanya. Justeru itu, putera-putera yang lain akan keluar mengembara mencari tanah jajahan mereka sendiri. Ada juga antara mereka yang terpaksa meninggalkan negara mereka sendiri akibat kalah perang. Mereka bersama-sama pengikut telah belayar ke rantau ini dan ada antara mereka telah menjadi lanun. Di kawasan ini dikatakan mereka telah dapat mengalahkan pembesar-pembesar tempatan dan menguasai negeri mereka. Putera-putera ini kemudiannya telah mengahwini wanita-wanita tempatan dan mendirikan kerajaan-kerajaan yang bercorak Hindu. Hipotesis ini mengandaikan bahawa penduduk di kawasan Asia Tenggara pada masa itu masih gasar (barbarian).

Teori sebenarnya lemah untuk diketengahkan dan ianya telah ditentang hebat oleh F.D.K. Bosch yang mengatakan seandainya ada seseorang raja atau pahlawan India yang menakluki wilayah-wilayah di rantau ini sudah tentu mereka atau keturunan mereka akan mencatatkan kejayaan-kejayaan mereka pada prasasti atau sebagainya. Prasasti atau catatan seumpamanya tidak pernah ditemui di Asia Tenggara.

Juga tidak terdapat tanda-tanda kacukan bangsa Melayu-Dravidia dalam kalangan penduduk Jawa atau Bali yang didakwa oleh penyokong teori ini sebagai tempat putera-putera raja itu menubuhkan kerajaan mereka. Begitu juga dengan bahasa, istilah dan perkataan-perkataan India yang terdapat dalam bahasa Melayu adalah perkataan-perkataan Sanskrit tulen, bukan bahasa orang Dravidia. Berdasarkan pendapat kumpulan yang mengetengahkan hipotesis ini, mereka mengatakan putera dan pahlawan India itu datang dari Selatan India, iaitu daripada kalangan bangsa Dravidia.

Selain itu, Ahmad Jelani Helmi dalam bukunya Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu juga mempersoalkan tentang teori ini dengan menyatakan sekiranya terdapat koloni India di sini, kenapa tidak wujud susun lapis masyarakat seperti yang terdapat di India di sini. Walaupun mengikut teorinya memang wujud kasta-kasta tertentu di sini, akan tetapi pada praktiknya sistem ini tidak diamalkan langsung di Asia Tenggara. Golongan Brahmin di sini hanya merupakan purohita (penasihat) raja. Kedudukan raja dianggap lebih mulia daripada Brahmin kerana raja merupakan titisan para dewa.

Selain daripada itu, Ahmad Jelani juga menyatakan bahawa senibina candi dan istana di Asia Tenggara berbeza sama sekali daripada bangunan-bangunan sama yang terdapat di India. Binaan Angkor Wat dan Candi Borobudur contohnya tidak sama dengan binaan candi Hindu dan Budha yang ada di India.

Bersambung : Hipotesis Brahmin



Sent from my iPad

1 comment:

  1. kerajaan dravidia merujuk kepada kerajaan yang beragama hindu di sekitar thailand dan myanmar pada hari ini. masyarakatnya berbilang kaum meliputi melayu, mon, pyu, dan lain2.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...