Wednesday, June 12, 2013

ANIMISME DAN DINAMISME KEPERCAYAAN AWAL MASYARAKAT DI ASIA TENGGARA

 Kepercayaan awal masyarakat di Asia Tenggara mula wujud sejak dari Zaman Mesolitik, namun bentuk kepercayaan ini tidak jelas, apa yang dikesan hanya yang dapat dikesan adalah daripada cara-cara pengebumian mayat. Sebagai contoh di Gua Niah telah ditemui satu rangka pemuda dari Zaman Mesolitik dimana pengebumian pemuda ini telah dilakukan dengan sempurna dan dilengkapkan dengan alat-alat kegiatan seharian seperti kapak, beliung, perahu, alat-alat menangkap ikan dan sebagainya yang menunjukkan bahawa mereka telah mempunyai kepercayaan tentang hidup selepas mati, iaitu wujud satu alam lain selain daripada alam fizikal ini dan wujud roh.

Sekitar Zaman Logam Awal (gangsa), iaitu sebelum kedatangan pengaruh India ke Nusantara, telah wujud pengebumian secara membakar mayat. Debu-debu mayat itu kemudiannya disimpan dalam takar. Pembakaran mayat ini dapat dikesan di Jawa Barat, Bukit Tinggi, di Sumatera Barat, Sabang di Sulawesi Tengah, Pulau Salayar dan Melolo di Sumba. Sejarahwan I.C Clover menjelaskan bahawa pembakaran mayat ini tertumpu di kawasan pesisir dan tidak berlaku di kawasan pedalaman kecuali di Bukit Tinggi, Sumatera.

Sejarahwan B.Harrison percaya bahawa upacara pembakaran mayat telah mula dilakukan dalam Zaman Dong-Son, takar-takar yang digunakan untuk menyimpan debu-debu itu dikatakan berasal daripada tradisi Sahuynh-Kalany, iaitu satu tradisi tembikar yang mempunyai betuk patern yang unik.

Gambar Hiasan.

Sungguhpun begitu, kepercayaan asas mereka adalah animisme dan dinamisme. Animisme adalah kepercayaan kepada serba jenis roh/semangat. Dinamisme pula merupakan kepercayaan kepada wujudnya kekuatan atau mana di mana-mana sahaja. Akan tetapi para sarjana sering meyamakan sahaja kedua-dua istilah itu sebagai animisme.

Mengenai kepercayaan dinamisme, S.Wojowasito menjelaskan bahawa setiap makhluk dan benda dikatakan mempunyai mana (kekuatan). Sesuatu benda atau makhluk boleh mempunyai lebih banyak mana daripada benda dan makhluk lain. Mana juga dikatakan terdapat lebih banyak di dalam satu bahagian tubuh daripada bahagian yang lain, umpamanya di kepala lebih banyak daripada di kaki, di belakang lebih banyak daripada di hadapan. Dikatakan juga orang yang mempunyai lebih banyak mana lebih berbahaya.

Mana ini boleh dipindahkan kepada benda atau orang lain. Sebagai contoh, jika orang menerima satu hadiah daripada orang lain, bermakna dia akan menerima mana daripada pemberi itu. Perkara ini mungkin membahayakan dirinya, kerana perimbangan mana yang ada pada dirinya akan terganggu. Oleh kerana itu, untuk menghindarkan bahaya orang yang menerima hadiah itu mestilah seberapa yang boleh membalas hadiah yang diberikan itu supaya perimbangan mana yang terganggu itu dapat dibaiki kembali.

Masyarakat yang mengamalkan kepercayaan dinamisme percaya semua benda dan hidupan mempunyai mana atau kekuatan.

Sebab itu terdapat dalam kalangan masyarakat di Asia Tenggara ini mengamalkan ngayau (memburu kepala) dan kanibalisme. Perbuatan itu semata-mata bertujuan untuk merampas mana musuhnya untuk memperkuatkan mana dirinya.

Anamisme pula dikatakan bahawa setiap makhluk, benda atau tumbuh-tumbuhan itu mempunyai roh (semangat). Roh ini tidak boleh mati dan hancur seperti jasad. Jika seseorang itu meninggal dunia, rohnya akan meninggalkan jasad dan tinggal di tempat-tempat tertentu. Disamping mempercayai semangat-semangat ini, animisme juga percaya tentang wujudnya “makhluk halus”, iaitu makhluk yang wujud tetapi tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Makhluk ini seperti orang bunian, mambang, jembalang, hantu, pontianak dan sebagainya.

Berbagai-bagai upacara dilakukan untuk memuja semangat-semangat itu. Semangat-semangat ini dikatakan boleh membantu dan juga merosakkan. Justeru itu semua tindakan yang dilakukan harus berhati-hati supaya tidak menggangu semangat itu. Kepercayaan kepada semangat dan kepada roh orang mati ini kemudian berkembang kepada kepercayaan tentang roh yang lebih berkuasa iaitu roh nenek moyang (Hyang).

Kepercayaan Hyang ini menjadi lebih kompleks dalam Zaman Neolitik. Kesan dari kepercayaan ini telah membentuk sebuah budaya yang dikenali sebagai budaya megalitik. Budaya ini dapat dikesan oleh longgokan meja-meja batu yang dikenali sebagai menhir dan dolmen. Menhir adalah ketulan-ketulan batu yang menegak yang merupakan kaki meja itu dan dolmen merupakan batu leper yang mendatar yang biasanya diletakkan di atas menhir bagi tujuan penyembahan Hyang. Diyakini bahawa batu-batu megalit itu digunakan untuk tempat menjalankan upacara-upacara korban (manusia atau binatang) dan kadangkala merupakan keranda batu.

Di Berhala Lima, berhampiran Kota Bharu, Kelantan terdapat sebuah kompleks batu megalit yang terdiri daripada kubur dolmen dan sebuah menhir “tempat bersemayam” Hyang. Winstedt percaya kompleks ini di dirikan sekitar 300SM.

Dalam masa ini kepercayaan kepada Hyang menjadi lebih kompleks. Roh anggota keluarga yang mati dipercayai menjadi pelindung terkuat kepada sesebuah keluarga itu. Roh itu dikatakan tidak meninggalkan tempat kediamannya, walaupun jasadnya telah dikebumikan. Mereka percaya roh-roh ini boleh dibangunkan dengan beberapa amalan ritual seperti nyanyian puji-pujian, tarian dan sajian. Pada ketika ini mula muncul kegiatan membuat bayangan-bayangan sebagai ganti bayangan roh orang yang meninggal. Biasanya upacara memangil roh nenek moyang ini dijalankan pada waktu malam, ketika bayang-bayang banyak berkeliaran.

Pada awalnya upacara ini dikendalikan oleh ketua-ketua keluarga atau ketua-ketua puak, akan tetapi kemudian iala telah dijalankan oleh golongan profesional yang dipanggil dalang. Daripada kegiatan memuja nenek moyang melalui bayang-bayang inilah kemudian lahirnya pertunjukan wayang dan wayang kulit. Pertunjukan wayang ini dipercayai telah bermula sekitar 2.000 – 1.500 SM.

Apabila  berlaku bencana alam, masyarakat ini sering mengadakan upacara-upacara ritual dalam bentuk tarian ianya bertujuan untuk mengharmonikan kembali alam. Bencana alam itu dipercayai berlaku disebabkan oleh gangguan kepada rentak alam. Justeru itu tarian dengan gerak geri tertentu diadakan. Dengan cara itu dipercayai akan mempengaruhi alam itu supaya kembali kepada rentak yang betul atau kepada landasan asalnya.

Begitulah kepercayaan awal masyarat di Asia Tenggara ini termasuklah di Kelantan, kepercayaan kepada alam dan roh menjadi pegangan. Disini kalau dikesan sudah ada unsur-unsur tauhid namun, mereka tidak menerima nur yang sebenar. Selepas ini akan dihuraikan pengaruh agama Hindu dalam masyarakat Nusantara. Ikuti tajuk seterusnya:

PERDAGANGAN ANTARA BANGSA ZAMAN GANGSA NUSANTARAPemangkin perkembangan Pengaruh HINDU 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...