Monday, November 11, 2013

Kisah Benar tentang Kekuatan Melayu-Melaka yang dipandang Enteng

Assalamualaikum....

Post sebelum ini adalah berkenaan Asal Usul Melayu 2 yang berkisar tentang teori penghijrahan...

Kali ini kami ingin paparkan satu episod dalam Kegemilangan Empayar Melayu Melaka. Walaupun kita orang Kelantan, sejarah Melaka tidak boleh dipandang ringan, kerana Puteri Onang Kening, puteri kepada Tuanku Mansur Syah, Sultan Kelantan 1467-1521 yang dikahwinkan dengan Sultan Mahmud Shah 1488-1511, setelah Kelantan ditawan oleh perajurit Melaka yang dipimpin oleh Tun Mutahir.

Renungkan dan fikirkan sejenak... Hebatnya Orang Melayu.... Namanya gah di Persada Dunia ..... Namun kerana kedangkalan pada diri, kita menidakkan tentang Bangsa Ini.... Mengkolotkan bangsa ini. Sedarlah sahabat-sahabat sekalian, Melayu bukan Bangsa Terpinggir, Melayu Bukan Bangsa Merempat. Namun Melayu juga bukan Bangsa Yang Menongkat Dagu....

Bersatulah di bawah Panji-Panji ISLAM demi KEGEMILANGAN BANGSA MELAYU...

video

Asal Usul Melayu 2

Audio dan Video ini diterbitkan oleh Unit Pengembangan RISDA Negeri Sembilan yang menceretrakan Asal Usul Bangsa Melayu seperti mana artikel awal kami dahulu.

Ikuti dan cernakan maklumat Video ini. Ini bukan mustahil atau omongan kosong.

Sumber : YouTube
Penerbit : Unit Pengembangan RISDA N9.

video

**Penulisan artikel tentang "Kerajaan Malayu" masih lagi berlangsung. Namun ia mengambil sedikit masa kerana kami sedang mensiap siagakan Kelab Pencinta Sejarah Kelantan untuk tahun 2014.

Monday, November 4, 2013

Kerajaan Malayu : Pengenalan

Sebelum ini kami pernah terbitkan artikel yang bertajuk “Melayu darimana kah kita”. Sudah kita jelaskan tentang teori penghijrahan itu hingga berkembangnya negeri-negeri Melayu pada kurun yang lalu. Kali ini, kami ingin mengetengahkan kepada umum sebuah negeri yang bernama MELAYU/MALAYU.

Sebut tentang Melayu pasti  kita skeptikal dengan 14 buah negeri di Malaysia. Cuba luaskan sedikit pemikiran anda.... lalu pastinya anda akan membilang negeri-negeri seperti Patani, Champa dan Acheh. Jika anda seorang pengkaji wajib terlintas akan kerajaan di Palembang dan sinonim terpaut dengan Sriwijaya. Maka berlangsunglah perbahasan yang tidak sudah melalui media sosial popular, Facebook.

Namun, kita tidak salahkan anda. Maklumat tentang Sriwijaya amat banyak sekali dan perbincangan mengenainya amat menarik ditambah lagi, saban hari terdapat artifak baru dijumpai di Sumatera itu. Ambil nafas dalam-dalam dan renungkan seketika peta Sumatera, pasti anda akan nampak Jambi, bawah sikit Palembang anda akan jumpa perkataan Malayu dan Tasik Malaya. Lantas kita akan berkata;

Aik cam mana ada nama Malaya ni? Bukan ke Orang Putih bagi istilah ni...kenapa ada di Sumatera?

Kami akan menjelaskan mengenai misteri nama Malaya dan Melayu wujud di Sumatera dalam untaian seterusnya.

LOKASI DAN KERAJAAN SILAM

Sungai seringkali menjadi pilihan untuk kerajaan-kerajaan silam membina kota pentadbiran. Pelbagai faktor mengapa kota ini dibina berdekatan dengan sungai dan ramai antara kita sudah maklum mengenai perkara ini. Begitu juga dengan Malayu, dalam hal ini kita akan menyoroti tentang sebatang sungai di Sumatera yang dikenali sebagai Sungai Batanghari di Jambi.

Kota maritim yang berkembang menjadi kota besar kebiasaannya terletak di tepi sungai besar. Begitu juga dengan Jambi yang sejak dahulu terletak di tepi Sungai Batanghari. Pelabuhan Jambi dahulunya dipercayai merupakan sebuah pelabuhan sungai. Sungai Batanghari yang lebarnya kira-kira 500 meter dan panjangnya lebih dari 800 km, sesuai untuk pelayaran sungai, sekurang-kurangnya bermula dari muara sungai hingga ke Kota Jambi sekarang.

Sejak diawal peradaban manusia di Sumatera, Pulau ini dikenali sebagai sebuah pulau yang menghasilkan emas. Kawasan yang mengandungi emas terletak di daerah kaki Bukit Barisan yang terkandung dalam Provinsi Bengkulu dan Sumatera Barat.  Banyaknya emas dibumi bertuah itu maka pulau ini dikenali sebagai Suvarnadwipa (Pulau Emas) oleh pedangang India pada zaman silam. Oleh kerana itu, banyak kerajaan  di Pulau Sumatera berusaha meguasi daerah penghasil emas ini.

Lantas di kawasan Sungai Batanghari telah muncul dua kerajaan yang saling berkait rapat dengan Jambi iaitu Kerajaan Malayu dan Kerajaan Sriwijaya. Dua kerajaan ini saling mendominasi daerah Batanghari dan Jambi. Antara dua kerajaan ini, Kerajaan Malayu yang paling menonjol dan paling lama kewujudannya.
Catatan sejarah menyatakan bahawa kerajaan ini disebut pada pertengahan abad ke-7 Masihi dan masih memegang peranan penting hingga abad ke-14. Setelah zaman itu, walaupun nama Malayu masih digunapakai tetapi bentuk pentadbirannya sudah berubah menjadi bentuk pemerintahan yang bercorak Islam (Kesultanan).

CATATAN  SILAM

Sejarah Negara China pada Dinasti Tang (abad ke-7 hingga abad ke-10) buat pertama kali ada menyatakan kunjungan utusan dari negeri Mo-lo-yeu ke China pada tahun 644-645 Masihi, dalam catatan Arab zaman Khalifah Muawiyah (661-681 Masihi) ada disebut tentang nama negeri Zabag sebagai bandar lada terbesar di Sumatera bahagian selatan. Istilah Zabag dapat dikenalpasti dengan (muara) Sabak, di daerah muara Sungai Batanghari.

Namun catatan kuno seterusnya menyatakan bahawa Kerajaan Malayu ini telah diatasi oleh Kerajaan Sriwijaya dalam penguasaan lubuk emas ini. Ketika Sriwijaya menjadi lemah akibat dari serangan Cola, Malayu telah bangkit kembali. Sebuah Prasasti yang ditemui di Srilanka menyebutkan bahawa pada zaman pemerintahan Vijayabhanu di Srilanka (1055-110 Masihi), Raja Suryanarayana di Malayapura (Malayu) berjaya menguasi tampuk pemerintahan di Swarnnapura (Sumatera).

Malayu merupakan sebuah kerajaan yang dianggap penting. Kewujudan kerajaan ini selalu diakui oleh kerajaan-kerajaan lain. Sebuah kerajaan besar lain akan menghintung kewujudan kerajaan Malayu, misalnya Sriwijaya dan Majapahit.

Nagarakertagama menyebutkan bahawa Malayu lebih dahulu dan menyatakan sebagai sebuah negara terpenting di bawah kekuasaan Majapahit. Wilayah kekuasaan kerajaan ini meliputi seluruh daratan Pulau Sumatera, dari hujung barat laut hingga hujung tenggara. Beberapa daerah merupakan “bawahan” Malayu seperti Jambi, Dharmmasraya, Kandis dan Manankabwa yang berlokasi di daerah Sungai Batanghari. Jambi mula-mula disebut kerana Jambi mungkin merupakan tempat  yang paling penting, bukan sahaja sebagai ibu kota kerajaan. Pada zaman Majapahit, ibu kota Kerajaan Malayu sudah berlokasi di Dharmmasraya, iaitu di hulu Batanghari.


Begitulah pengenalan tentang kerajaan yang bernama Malayu ini. Artikel seterusnya akan kami paparkan tentang kesan-kesan kerajaan yang wujud di Jambi terutama kesan Kerajaan Malayu ini.

Monday, October 21, 2013

THE RED-EARTH LAND (TANAH MERAH)


TANAH MERAH satu daerah yang sinonim tercatat dalam buku-buku sejarah yang lokasinya terletak di Kelantan. Daerah ini sungguh terkenal semenjak ianya dikaitkan dengan satu nama dalam catatan China Purba iaitu Chih Tu.Ramai antara kita terus mengia dan percaya begitu sahaja tanpa membuat semakan. Sebenarnya, kita tidak boleh salahkan audien kerana hal ini tiada tercatat dalam mana-mana catatan dari Bangsa Melayu. Ia hanya dijumpai setelah pengkaji dari Barat membuka catatan-catatan kuno dari China.

Selain dari Chih Tu, masih ada beberapa nama China yang merujuk kepada kerajaan-kerajaan kuno yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu seperti Fo lo an (Terengganu), Lang Chia Su (Langkasuka), Chieh Cha (Kedah) dan beberapa nama lagi. Fokus kini hanya pada The Red Earth Land seperti mana tercatat dalam Chih Tu Kuo Chi. Rekod kuno China ini telah diterjemahkan oleh Professor Paul Wheatly dalam Bahasa Inggeris yang dibukukan dalam The Golden Khersonese dan kami cuba terjemahkan ke Bahasa Melayu mengikut kefahaman kami yang terhad.

Berikut adalah terjemahan dari Bahasa Inggeris mengenai Chih Tu dari teks Bahasa Cina kuno:

Kerajaan Chih Tu adalah sebahagian dari Funan, ianya terletak di Lautan Selatan. Melalui jalan laut ianya dapat dicapai lebih dari 100 hari. Tanahnya berwarna merah dan dari rupa tanah inilah kerajaan ini mendapat namanya. Di timur ianya berjiran dengan Kerajaan Po Lo La, di arah barat terletak Po Lo So, dan di sebelah selatan adanya Ho Lo Tan manakala di sebelah utaranya adalah lautan. Jarak negara ini beberapa li. Chu Tan adalah nama keluarga bagi Raja dan nama peribadinya adalah Li fu to se. Beliau tidak mengetahui apa-apa tentang negara-negara jauh. Bapanya memberi kuasa kepadanya untuk menyebarkan ajaran Budha dan Li fu to se meneruskan amanat bapanya itu. Beliau telah memerintah selama enam belas tahun dan mempunyai tiga orang isteri dari kalangan anak-anak raja yang berjiran dengannya.

Takhtanya terletak di kota Seng-chih. Kota ini mempunyai tiga pintu gerbang yang mempunyai beberapa ratus lapis. Setiap pintu gerbang diwarnakan dengan dengan warna yang berkilauan, patung-patung disusun dan ia dihiasi dengan bunga emas serta loceng suci. Wanita-wanita memainkan alat muzik dan memegang bunga emas serta bau-bauan. Empat orang lelaki memakai pakaian adat chin-kang di sebelah pagoda Budha sebagai pengawalnya. Mereka mengawal diluar pintu gerbang dengan dilengkapkan peralatan perang, ada juga bertugas di dalam kota dengan memakai pakaian putih sepanjang jalan di dalam kota dan mengumpul bunga dalam bakul putih. Semua bangunan dalam istana mempunyai tiang yang banyak dengan pintu terletak di sebelah utara. Rajanya bersemayam di atas singgahsana  bertingkat menghadap arah utara dengan memakai pakaian berwarna merah-ros dengan mahkota emas berlarik serta memakai rantai yang berhias pelbagi permata. Empat orang hamba di sebelah kiri dan kanannya dan ratusan askar berkawal disekitar istana. Di atas singgahsana raja terdapat ukiran kayu berkilauan dengan dilapisi emas, perak dan lima jenis kayu wangi dan dibelakang singgahsana tersebut digantung lampu yang berkilauan. Di tepi singgahsana terpacak dua cermin logam dan sekeliling singgahsana penuh dengan peralatan dan perhiasan yang kebanyakkannya diperbuat daripada emas dan dihiasi dengan batu permata. Beberapa ratus orang brahman duduk berhadapan di kedudukan antara timur dan barat. Pegawainya terdiri daripada: seorang Sa t’o chia lo, dua orang T’o na ta yu, tiga orang Chia li mi chia untuk menguruskan hal berkenaan hubungan politik; seorang Chu lo mo ti mentadbir undang-undang jenayah. Setiap bandar melantik Na ya chia dan sepuluh orang Po ti.

Botak dan bersubang menjadi kewajiban bagi semua orang lelaki. Perayaan yang mereka sambut tidaklah dijelaskan. Badan mereka dilumur dengan minyak. Menjadi budaya menyembah Budha tetapi penghormatan tidak terhingga diberi kepada Brahman. Orang perempuan pula memintal rambut dan dililit pada leher mereka. Pakaian lelaki dan wanita diperbuat daripada ros dan bahan berwarna yang biasa. Sedangkan keluarga kaya mempunyai banyak kelonggaran, mereka hanya boleh memiliki loket emas dengan kebenaran raja. Untuk perkahwinan, hari-hari bertuah akan dipilih. Lima hari sebelum perkahwinan, keluarga pengantin akan mengadakan kenduri. Kemudian, ayah kepada pengantin perempuan akan menghantar anaknya itu ke tangan menantunya. Pada hari ketujuh upacara perkahwinan itu pun selesai dan pasangan itu secara sah disatukan. Selepas perkahwinan, harta akan dibahagikan dan rumah akan dibina, tetapi anak lelaki yang bongsu harus tinggal dengan ayahnya. Semasa upacara kematian, ahli keluarga si mati akan berkabung dengan memakai pakaian biasa. Mayat si mati akan di letakan atas rumah rakit yang diperbuat dari  buluh dan dihanyutkan kemudian, ianya dipungut kembali dan dibakar dalam satu upcara yang suci. Kemudian, abu si mati akan diisi dalam balang emas dan disimpan di kuil.

 Ia sentiasa hangat walaupun di waktu musim sejuk. Ianya selalu hujan dan panas beberapa hari. Ia tiada musim khusus untuk bercucuk tanam. Cuaca sebegini sesuai untuk penanaman padi, chi, kacang putih dan sayur-sayuran. Barangan lain dikumpul untuk dihantar ke China. Arak dihasilkan daripada campuran gula dan akar kayu ungu. Ia berwarna kuning kemerahan dengan rasa yang manis. Ia juga dikenali sebagai arak kelapa.

Setelah Yang Ti menaiki takhta, beliau telah melantik beberapa orang pegawai yang mempunyai pengetahuan tentang negara-negara asing untuk mengadakan hubungan diplomatik. Pada tahun ketiga Ta-yeh (607M) Chang Chun, menteri pertahanan dan Wang Chun Cheng, menteri sumber bahan mentah, telah memohon untuk menjadi duta ke Chih tu. Maharaja amat bersetuju dan telah mengirimkan 100 gulung sutera berserta pakaian mengikut musim dan ditambah 5000  jenis hadiah Raja Chih Tu. Dalam bulan sepuluh (november atau awal disember), Chang Chun  belayar dari pelabuhan Nan Hai (Canton). Selama 24 hari belayar siang dan malam dengan angin yang baik (monsun tenggara) mereka telah sampai di gunung Chiao shih. Mereka meneruskan pelayaran kearah timur laut dan sampai di pulau Ling chieh po pa to yang mengadap ke arah Lin yi (Campa) pada arah barat dan pulau ini mempunyai kuil di atas puncaknya. Kemudian belayar ke arah selatan dan tiba di Shih tzu Shih (Pulau Batu Singa) tambahan di sekitarnya terdapat rantaian pulau besar dan kecil. Selepas dua atau tiga hari pelayaran mereka nampak gunung negara Lang ya shu. Kemudian mereka terus belayar ke arah selatan ke pulau Chi lung (Sangkar Helang) dan mereka tiba di sempadan Chih Tu dan mereka telah dijemput oleh Brahman Chiu mo lo dengan tiga puluh jong yang dihantar oleh raja. Tetuang ditiup, gendang dipalu untuk meraikan delegasi dari Sui dan kapal Chang Chun telah ditambat dengan rantai besi. Ia mengambil masa sebulan untuk tiba ke ibu negeri.

Na ya chia, putera raja dihantar untuk menyambut Chang Chun dengan upacara sambutan yang sesuai. Mula-mula ia menghantar lelaki untuk mempersembahkan dulang emas yang mengandungi bunga-bunga wangi, cermin dan sudu emas, dua bekas minyak wangi; lapan pasu air suci, dan empat kaki kain putih dan pakaian berlipat untuk setiap orang dalam delagasi gunakan untuk mandi. Hari yang sama pada waktu Wei (pukul satu hingga tiga petang), putera raja sekali lagi menghantar dua ekor gajah yang dilengkapi khemah diperbuat daripada bulu merak untuk mengalu-alukan kedatangan duta dari China serta dulang emas yang dihiasi bunga yang wangi untuk diletakan dikri. Seratus orang lelaki dan wanita membunyikan loceng dan memukul gendang dan dua orang Brahman mengiringi delegasi ke tempat di raja. Chang Chun mempersembahkan penghormatannya dalam balairong di hadapan raja. Apabila ikrar sudah dibacakan oleh Chang Chun, semua rombonganya dijemput untuk duduk dan musik india dimainkan. Apabila upacara ini hendak berakhir, Chang Chun dan ahli rombongan memohon diri untuk kembali ke tempat penginapan mereka, Brahman telah dihantar untuk meberikan mereka makanan. Daun sebesar sepuluh kaki telah digunakan sebagai pinggan. Brahman yang melayan Chang Chun telah berkata: “kami sekarang adalah penduduk Negara Berdaulat, dan kami bukan lagi penduduk Chih tu. Makanlah makanan yang kami hidangkan demi negara kamu yang gagah. Beberapa hari kemudian Chang Chun dan ahli rombongannya telah dijemput menghadiri satu perayaan. Upacaranya sama seperti sambutan perayaan pada pertemuan mereka yang pertama dengan pengawal mengiringi mereka. Di hadapan raja disediakan dua buah meja yang penuh dengan hidangan makan yang terdiri daripada pelbagai kuih muih, daging dan buah-buahan. Chang Chun telah dijemput duduk di meja yang disediakan manakala pengikutnya duduk di atas tanah. Semua orang mengambil gelas emas yang berisi arak manakala pelayan memainkan muzik secara bergilir-gilir dan mereka diberi hadiah yang berharga. Dalam masa yang sama Nan ya chia menawarkan barangan tempatan sebagai penghargaan yang berupa emas, mahkota berbentuk kubis dan kapur barus serta kepingan emas yang mengandungi dikri dan ditutup dengan bekas emas. Brahman diarahkan mengiringi delegasi dengan menyiram minyak wangi serta memainkan loceng dan gendang.

Dalam pelayaran pulang semasa tiba di kuala, mereka melihat sekawan ikan berwarna hijau terbang di permukaan air. Selepas belayar di laut lebih dari sepuluh hari ke arah tenggara, mereka telah nampak kawasan pergunungan Lin i dan menerusi selat seluas seribu bahagian yang udaranya kering dan berwarna kekuningan. Suasana sebegini dikatakan akibat hembusan nafas dari ikan besar. Menerusi pesisir pantai utara, mereka telah sampai di Chio Chih.  Pada musim bunga tahun ke enam Ta Yeh, Chang Chun bersama-sama Na ya chia telah mengadap Maharaja di Hung nung. Chang Chung telah dianugerahkan pangkat Ping i wei (pegawai keadilan). Na ya chia dan pengikutnya pula telah dianugerahkan pangkat dan hadiah mengikut darjat mereka.

Dari terjemahan ini kita dapat gambarkan bahawa Chih Tu bukan sembarangan negara walaupun ianya adalah sebuah negara di bawah naungan Funan. Namun dari rekod China juga menunjukkan kunjungan Chang Chun, duta dari China ke Chih Tu sebagai satu simbolik pengiktirafan China kepada Chih Tu sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka dari Funan. Hal ini dibuktikan dengan Maharaja Sui ketika itu juga telah mengurniakan pangkat kepada putera Chih Tu iaitu Na Ya Chia dan secara tidak langsung meletakan Chih Tu di bawah naungan China.

Seperti negara-negara kuno yang lain, Chih Tu juga tenggelam di telan masa. Pengkaji Barat yang pertama mengkaji tentang Chih Tu adalah Abel Remusat (1829), de Rosny & Schlegal (1898), Aymonier (1903), Hirth and Rockhil, Peliot (1903) dan Le May (1938). Pada tahun 1829, Abel Remusat mentafsirkan Chih Tu terletak di perairan Siam seperti mana yang dicatatkan oleh sarjana dari China dan pernyataan ini dipersetujui oleh pengkaji seterusnya.

Namun, pengkaji-pengkaji seterusnya menolak siam sebagai tapak Chih Tu termasuklah seorang pengkaji dari Barat iaitu Kern yang menyatakan bahawa Chih tu ini terletak di Semenanjung Tanah Melayu. pada tahun 1919, Ferrand menyatakan Chih Tu terletak di Segenting Kra,  kemudian Moen dan Coedes menyatakan Chih Tu terletak di Patalung tetapi dibangkang oleh Briggs yang menyatakan bahawa ianya terletak di Patani dan ianya disokong oleh Luce, manakala Wales dengan penuh yakin menyatakan ianya terletak di Kedah.

Pengkaji Bangsa Asia juga tidak ketinggalan dalam mengkaji tentang Chih Tu. Khun Ciri Vadhana Anadra dan Takakuwa Komakichi (1925) menyatakan bahawa Chih Tu ini terletak di utara Semenanjung Tanah Melayu. selain dari itu, pengkaji Jepun di bawah Sekolah Sejarah Geografi pada tahun 1920-50an giat mengkaji tentang lokasi kerajaan-kerajaan kuno dan dalam hal ini mereka lebih fokus kepada selatan Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Sumatera. Contohnya, Kuwata Rokuro (1919) menyatakan Palembang sebagai Chih Tu, Miyaki Ichisada (1950) menyatakan Jambi, manakala Adachi Kiroku & Yamamoto Tatsuro (1951) menyatakan Selatan Semenanjung Tanah Melayu.

Terdapat juga pengkaji dari China sendiri iaitu Feng Cheng Chun dan Hsu Yun Tsio. Feng Cheng Chun menyatakan Chih Tu Terletak di tengah-tengah Semenanjung Tanah Melayu manakala Prof. Hsu menyatakan ianya terletak di Singgora. Dr. Kern mengaitkan Chih Tu ini dengan Raktamrittika yang bermaksud Tanah Merah dalam Inskripsi sanskrit dari Kedah dan ditambah dengan terdapatnya nama TANAH MERAH dalam peta topografi Malaysia pada masa ini.

Apa yang menarik disini adalah mengenai lokasi Ibu Negeri Chih Tu yang bernama Seng Chih (Kota Singa). Catatan dari Chih Tu Kuo Chi menyatakan seperti berikut:

Takhtanya terletak di kota Seng-chih. Kota ini mempunyai tiga pintu gerbang yang mempunyai beberapa ratus lapis.”
“Kemudian mereka terus belayar ke arah selatan ke pulau Chi lung (Sangkar Helang) dan mereka tiba di sempadan Chih Tu dan mereka telah dijemput oleh Brahman Chiu mo lo dengan tiga puluh jong yang dihantar oleh raja. Tetuang ditiup, gendang dipalu untuk meraikan delegasi dari Sui dan kapal Chang Chun telah ditambat dengan rantai besi. Ia mengambil masa sebulan untuk tiba ke ibu negeri.”

Sebulan perjalanan daripada pelabuhan, dan ini bermakna ianya terletak di pedalaman kawasan semenanjung dan sudah semestinya kota ini terletak di tengah-tengah Semenanjung Tanah Melayu yang kini merupakan kawasan hutan tebal. Paul Wheatly menyatakan ianya terletak sama ada di Ulu Kelantan atau Ulu Pahang. Dapatan kajian tempatan menyatakan bahawa di Hulu Kelantan wujud pusat pemerintahan Cik Siti Wan Kembang iaitu di Gunung Chintawangsa dan di Ulu Pahang yakni di Merapoh dalam daerah Kuala Lipis yang juga wujud tapak kota kuno.

Ini menunjukkan bahawa Chih Tu ini adalah sebuah negara yang besar di Semenanjung Tanah Melayu suatu masa dahulu. Merangkumi Kelantan, hulu Pahang dan hulu Terengganu dan ianya mendapat pengiktirafan daripada Mahajara China. Nama sanskritnya adalah Raktamrittika dan menurut pengkaji sejarah tempatan dari Kelantan iaitu Nakula, Raktamrittika ini telah mengisytiharkan kemerdekaan daripada Funan dan menamakan negara mereka sebagai Sriwijaya Mala.


Friday, October 18, 2013

TAN-TAN & PAN PAN DUA NEGERI MELAYU YANG SERING DI LUPAKAN

Pendahuluan

Semenanjung Malaysia ini pernah menyaksikan pelbagai kerajaan pernah wujud hinggalah sekarang. Sehingga 1957 terdapat dua belas negeri yang berlainan wujud di semenanjung. Sejarah 12 negeri ini cukup panjang untuk dikaji dan diselidik secara individu. Suatu masa dahulu, semenanjung ini juga pernah wujud pelbagai negeri dan sering dilawati oleh wakil-wakil dari Istana China. Namun, pengkaji tempatan gemar merujuk kepada Chih Tu dan Cheih Cha, dan sering melupakan tentang Tan Tan dan Pan Pan.

Tan Tan
Tan Tan pernah kami terbitkan di pautan ini. Perspektif artikel tersebut ditulis berdasarkan kepada pandangan Prof. Slamet Mulyana, seorang sejarahwan Belanda berbangsa Indonesia. Artikel tersebut menyimpulkan bahawa Tan Tan ini terletak di Tendong, satu daerah dalam jajahan Pasir Mas di Kelantan. Slamet Mulyana menjustifikasikan Tendong sebagai Tan Tan berdasarkan kedudukan Tendong di arah Barat Daya Telemong di Terengganu yang pada hematnya sama dengan To lo mo seperti mana yang tercatat dalam rekod China. Kali ini kami sampaikan satu lagi maklumat tentang Tan Tan menerusi perkspektif yang berbeza dan juga lebih tepat berbanding dengan pandangan dalam artikel kami yang terdahulu.

Menurut Paul Wheatly yang menterjemah rekod China yang bertajuk Tung Tien, Tan Tan ini buat pertama kali muncul dalam rekod China semasa pemerintahan Dinasti Sui dan terletak di arah Barat Daya To lo mo. Wheatly menyatakan bahawa To Lo Mo ini sama dengan Taruma sebuah kerajaan kuno di Jawa yang kini menjadi Jakarta.

Bedasarkan Tung Tien, Tan Tan ini digambarkan mempunyai struktur pentadbiran yang kompleks dengan mempunyai raja yang dikenali sebagai Sha Li dan Sha Li yang memerintah pada waktu itu bernama Shih ling chia. Ibu Kota Tan Tan mempunyai 20,000 keluarga dan rajanya agak sibuk kerana setiap hari baginda mempunyai dua sesi bertemu dengan rakyat iaitu pada waktu pagi dan petang. Baginda mempunyai 8 orang menteri yang dikenali sebagai Pa Tso yang terdiri daripada Brahman. Hasil negeri ini adalah emas, perak, kayu putih, kayu sapan dan buah pinang. Tanaman ruji adalah padi, manakala haiwan peliharaan adalah rusa, kambing, babi, gagak, angsa, itik, musang dan kijang. Burungnya pula terdiri daripada burung kenyalang dan merak.

Dari gambaran ini kita boleh bayangkan bahawa Tan Tan ini sebuah negeri yang makmur dan kaya, kerana itu ianya menarik perhatian pedagang China untuk singgah. Namun, tiada rekod menunjukkan Tan Tan menghantar perwakilan ke China.

Menjadi hal yang menarik untuk diperhatikan adalah mengenai lokasi Tan Tan yang sebenar. Mengikut Paul Wheatly berdasarkan inskripsi dari China, Tan Tan berkait rapat dengan Chih Tu kerana mereka berada di laluan dari laut selatan. Lokasi Chih Tu telah kita kenal pasti iaitu terletak di Pantai Timur Semenanjug di sekitar lembangan Sungai Kelantan manakala Tan Tan berkedudukan sedikit ke selatan di Kuala berkemungkinan di Besut atau di Kuala Terengganu.

Justifkasi dari Whealty ini agak kemas kerana di Besut pernah wujud satu kerajaan yang besar, begitu juga Kuala Terengganu yang kini merupakan ibu negeri Terengganu.

Pan Pan
Rekod China paling awal mencatatkan tentang kerajaan ini adalah Liang Shu pada bahagian Funan yang mengisahkan mengenai Kaundinya II yang menaiki takhta Funan. Kisahnya bermula apabila Funan tiada pengganti setelah kematian Chu Chan Tan. Kaundinya telah dilantik menjadi pengganti Raja Funan itu. Kaundinya ini juga merupakan seorang Brahman dari India dan dalam perjalanan beliau ke Funan beliau telah singgah di Pan Pan. Beginilah nama Pan Pan timbul dalam rekod China.

Mengikut pembacaan kami, nama Pan Pan ini dalam bahasa Sanskrit sinonim dengan Tambralingga dan hal ini banyak dibicarakan. Kami juga pernah menyatakan hal ini dalam artikel-artikel terdahulu semasa kami membuat penghuraian mengenai kerajaan Funan dan Champa. Namun, kali ini kita melihat Pan Pan dari sudut rekod China.

Liang Shu adalah catatan pertama yang merekod tentang Pan Pan. Namun setelah itu Pan Pan ini mempunyai bahagian khusus dalam Liang Shu setelah mereka mula menghantar delegasi ke Istana China pada tahun 424 – 453, 454-456, 457-464, 527, 529, dan 534. Selain dari itu, satu lagi rekod China juga mencatatkan kedatangan delegasi dari Pan Pan pada tahun 532 iaitu Nan Shih.

Setelah itu, nama Pan Pan ini timbul dalam rekod-rekod China yang berlainan. Rekod daripada Ma Tuan Lin dalam Wen hsien Tung Kao menghuraikan Pan Pan dengan jelas. Ma Tuan Lin menyatakan Kerajaan Pan Pan memulakan hubungan dengan China semasa pemerintahan Dinasti Liang (502 – 557), namun Wheatly menyatakan ianya bermula lebih awal lagi iaitu pada tahun 424. Kerajaan ini digambarkan sebagai sebuah kerajaan yang kuat dan mewah. Rakyatnya hidup aman dan damai serta mempunyai kelengkapan tentera yang mencukupi serta mempunyai produk makanan yang unik.

Dari catatan Ma Tuan Lin ini, Wheatly menyimpulkan bahawa Pan Pan terletak di kawasan Pantai Timur semenanjung atau lebih tepat di kawasan segenting kra berhadapan dengan Champa dan dipisahkan oleh Teluk Siam. Pan Pan ini mempunyai perkaitan rapat dengan Patani kerana ibu negeri Patani sewaktu kegemilangannya terletak di kawasan Segenting Kra.

Tan Tan dan Pan Pan adalah nama China. Namun kita yakin nama Melayu bagi dua negeri ini adalah Terengganu (Tan Tan) dan Patani (Pan Pan). Terengganu adalah sebuah negeri dalam persekutuan Malaysia manakala Patani berada di bawah Thailand (Siam).

Kesimpulan

Tan Tan dan Chih Tu membuka lembaran sejarah bahawa negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung mempunyai sejarah yang panjang dan unik. Pan Pan pula membuka pintu untuk kita teliti kegemilangan Bangsa Melayu. Apa yang pasti, kenapa sejarah negeri-negeri Pantai Timur tidak begitu menonjol dalam pengisahan sejarah Malaysia. Kita banyak mempelajari tentang sejarah Melaka, Johor dan Perak serta Pulau Pinang. Kenapa kita kurang mengetahui tentang sejarah negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak serta Sabah. Mungkinkah ada agenda tersembunyi?

Friday, August 9, 2013

Kantoli

KUNTALA (KAN-T’O-LI)

Bunga Kantoli

Kuntala merupakan sebuah Negara Kota perdagangan yang penting dan telah muncul di Sumatera sekitar abad ke-5 Masihi. Kerajaan berkemungkinan wujud kesan dari aktviti perdagangan yang aktif di antara China dan kepulauan Asia Tenggara pada waktu itu. Daripada catatan-catatan China menunjukkan kerajaan ini menjalankan perdagangan hasil yang dibawa dari Asia Barat di samping barangannya sendiri. Pada abad ke-5 Masihi, barangan tempatan Asia Tenggara masih belum popular di China. Oleh kerana itu, barang dagangan Kan-T’o-Li yang di bawa ke China sebahagian besarnya adalah hasil-hasil dagangannya dengan Parsi atau negara-negara lain di Asia Tenggara.

Catatan China buat pertama kali menyebut tentang kerajaan ini pada tahun 441 Masihi, apabila Kuntala menghantar perwakilannya ke istana China. Utusan kedua dihantar pada tahun 455 Masihi ketika kerajaan itu diperintah oleh seorang raja yang dikenali sebagai Sri Waranarendra (454-464 Masihi). Raja ini dipercayai beragama Hindu. Utusan dari Kuntala ini berterusan sehinngga tahun 502 Masihi. Pada 502 Masihi, satu utusan telah dikirimkan oleh Raja Gautama Subhadra yang beragama Budha ke istana Liang yang baru mengambil alih pemerintahan  China Selatan sehingga tahun 556 Masihi. Utusan dari Kan-To-li yang berikutnya yang dihantar ke China adalah pada tahun 518 dan 520 Masihi ketika ianya diperintah oleh Raja Vijayawarman. Setelah pada itu, Kantoli tidak lagi mengirim utusan sehingga tahun 560 Masihi iaitu setelah Selatan China diperintah oleh Bangsa Ch’en. Perutusab terakhir dari Kantoli adalah pada tahun 563 Masihi. Seterusnya, tiada lagi nama kerajaan ini dicatat dalam rekod China.

Kantoli ini sering disebut dalam rekod China pada abad 5 dan 6 Masihi namun lokasinya tidak dapat dipastikan dengan tepat. Liang Shih (502 – 556 Masihi) mencatatkan bahawa negeri Kantoli ini terletak di sebuah pulau  di laut selatan. Adat istiadatnya sama dengan Kemboja dan Campa. Negeri ini dikatakan menghasilkan pakaian yang berbunga-bunga, kapas dan pinang. Catatan Liang Shih ini tidak menentukan lokasi yang tepat negeri ini di laut selatan. 7 abad kemudian, nama Kantoli ini disebut semula dalam Ming Shih (Sejarah Ming). Ming Shih mencatatkan bahawa Kantoli adalah nama lama bagi San-fo-tsi (Suwarnabhumi). Kenyataan daripada Ming Shih ini menjelaskan sedikit sebanyak tentang kedudukan Kantoli. Sekiranya catatan Ming Shih ini benar, maka Kantoli ini boleh dikatakan terletak di muara Sungai Batang Hari yang merupakan pelabuhan utama San-fo-tsi. Slamet Muljana menyatakan bahawa kantoli mungkin nama asal sebuah tempat yang bernama Tungkal berhampiran Jambi.

Pada abad ke-5 dan 6 masihi, Kantoli telah memainkan peranan penting dalam perdagangan Po-ssu (barang-barang dagangan Parsi). Mengikut O.W. Wolters, ketika Kantoli menghantar utusan, terdapat juga beberapa kerajaan dari Asia Tenggara menghantar utusan mereka ke China dan ini menunjukkan bahawa aktiviti perdagangan begitu memuncak di rantau ini ketika Kansu ditakluki  oleh Kerajaan Wei Utara. Peraka ini telah menyebabkan raja Liu Sung dari selatan terpaksa menggunakan jalan laut untuk mendapatkan barang mewah dari Barat. Justeru itu, Kantoli mengambil kesempatan ini untuk memainkan peranan penting dalam perdagangan timur-barat.

Setelah bangsa Liang mengambil pemerintahan bahagian selatan China pada tahun 502 Masihi, perdagangan antara China dan Kepulauan Asia Tenggara semakin meningkat. Oleh kerana itu, Kantoli telah menghantar lebih banyak utusan iaitu pada tahun 518, 520, 560 dan 563 Masihi. Antara barangan ufti yang dihantar ke China merupakan bau-bauan dan ubat-ubatan. Dupa, Mur, dan Kemenyan dari Asia Barat dan Gaharu, Kemenyan serta kapur barus dari Asia Tenggara mungkin barang yang dihantar oleh kerajaan Kantoli.

Menjelang abad ke 7 masihi, nama Kantoli tidak lagi disebut dalam rekod China. Hal ini berkemungkinan kerajaan ini sudah tidak lagi wujud atau ditakluki oleh kerajaan tetangga. Pada abad ke-7 masihi juga telah muncul berita tentang dua buah kerajaan lain di sekitar laut selatan dalam rekod Cina iaitu Kerajaan Malayu dan Sriwijaya. Berkemungknan besar, Kerajaan Malayu telah menakluki Kantoli ini, memandangkan kedua-dua kerajaan ini wujud di Muara Sungai Batang Hari, Jambi.

Mengikut Sejarah Baru Wangsa Tang kerajaan Malayu buat pertama kalinya  mengirimkan utusan ke China pada tahun 644 masihi, iaitu ketika kerajaan Kantoli sudah tidak lagi wujud. Kemungkinan besar, di antara tahun 563 Masihi hingga 644 Masihi itu telah berlaku pergolakan besar di Pantai Timur Sumatera hingga menyebabkan Kantoli runtuh dan wujudnya Kerajaan Malayu dan Sriwijaya.


Wednesday, July 31, 2013

Tambralingga

Haiwan-haiwan dalam rajah ini mewakili Negara dalam Wilayah utara Semenanjung Tanah Melayu dan salah satunya merupakan lambang untuk Tambralingga.

Tambralingga adalah sebuah lagi kerajaan Melayu yang dipercayai muncul di Segenting Kra sekitar abad ke-2 Masihi. Pada awal Kewujudan ianya hanya tercatat dalam sebuah kitab tua Tamil iaitu Kitab Niddesa dengan menyebut sebagai Tambralinggam dalam bahasa Tamil yang bermaksud Lingga Tembaga. Nama kerajaan ini tidak tercatat dalam mana-mana catatan China. Jika diamati dari masa kewujudannya pada abad ke-2 Masihi, kerajaan ini wujud sezaman dengan Kedah Tua dan Langkasuka, namun ia telah hilang dari sejarah selama lebih kurang 8 abad.

Ia hanya muncul semula sekitar tahun 1030 Masihi apabila ia disebut dalam sebuah inskripsi di India Selatan iaitu Inskripsi Tanjore. Walau bagaimanapun, H.G.Q. Wales berpendapat bahawa kerajaan itu terus wujud dan mengambil alih kerajaan Pan-Pan sekitar tahun 635 Masihi, iaitu setelah penghantaran utusan Pan-Pan  yang terakhir ke China.

Dalam catatan Cina, negara ini dikenali sebagai Tan-ma-ling. Catatan terawal tentang negara ini diperoleh dalam Sung Shih (Sejarah Sung). Sung Shih mencatatkan bahawa rakyat kerajaan ini tinggal dalam rumah yang diperbuat daripada kayu. Mereka menggunakan emas dan perak sebagai bahan tukaran untuk perdagangan. Ibu kotanya tidak berbenteng dan rajanya apabila keluar akan menunggang gajah atau kuda. Dikatakan juga negara ini menghasilkan cula badak, gading gajah, logam perunggu (gangsa) dan Kayu Brezile. Ia juga menghasilkan beberapa jenis ubat-ubatan. Pada tahun 1001 Masih, pemerintahnya Tou Su Chi  telah mengirimkan utusan ke China.

Chu-fan-chi karangan Chau Ju-kua (1225 Masihi) mencatatkan bahawa Tan-ma-ling (Tambralingga) merupakan salah sebuah jajahan takluk San-fo-tsi (Suwarnabhumi)  dan ia telah diperintah oleh seorang Temenggung dari kerajaan itu. Di katakan juga pada tahun 1196 Masihi, ia pernah mengirim utusan ke China. Perkara ini menjelaskan bahawa ia telah bebas daripada kekuasaan Suwarnabhumi masa itu kerana kerajaan China hanya menerima perwakilan daripada kerajaan-kerajaan yang merdeka.

Daripada Tao i chih lio yang ditulis pada 1349 Masihi, diketahui bahawa Tan-ma-ling mempunyai pemerintahnya sendiri. Ia menghasilkan timah yang bermutu tinggi, mutiara, kapur barus, kulit penyu, sarang burung, kayu gaharu dan juga lilin lebah (lilin kuning). Melalui San tsai t’u hui 1607 Masihi pula diketahui bahawa negara itu tidak mempunyai raja, hanya seorang ketua sahaja.

Satu lagi sumber yang mencatatkan tentang kewujudan Tambralingga ialah sebuah inskripsi yang dikenali sebagai inskripsi Caiya (Grahi). Caiya merupakan sebuah bandar kecil di pantai timur Segenting Kra. Ia didirikan di kawasan sebuah kota yang lebih tua dikenali sebagai Grahi atau Kia-lo-hi oleh orang Cina. Inskripsi ini merupakan inskripsi tempatan. Ada kemungkinan Caiya (Grahi) adalah bekas ibu kota kerajaan Tambralingga. Inskripsi 1230 Masihi ini juga mencatatkan dengan jelas yang Grahi sebagai wilayah Tambralingga.

Inskripsi Grahi juga mencatatkan tentang seorang raja pemerintahnya bernama Chandrabhanu yang bergelar Sri Dharmaraja, Yang Dipertuan Tambralingga. Namun, jika mengikut catatan Cina, Tao- i Chih-lioh yang ditulis sekitar tahun 1340an mengatakan Tan-ma-ling tidak mempunya raja, ia hanya diperintah oleh seorang ketua sahaja.

Merujuk kepada satu catatan Cina, Lai Wai tai ta  Tambralingga terkenal sebagai sebuah negara yang menghasilkan minyak wangi yang terbaik dan tiada tandingannya. Ia juga menghasilkan kayu gaharu yang paling wangi, lilin kuning dan getah kino. Menurut Tao-i Chih-lioh yang ditulis sekitar 1340, Tambralingga terdiri daripada dataran yang luas dan menghasilkan lebihan bijirin. Penduduknya, lelaki dan perempuan menyanggul rambut mereka dan memakai pakaian yang terdiri daripada sehelai baju putih dan kain sarung hitam yang diperbuat daripada kapas. Mereka menggunakan satin, sulaman atau sejumlah timah sebagai mas kahwin. Orang disini memasak air laut untuk dijadikan garam dan menapai sekoi untuk dijadikan minunman  keras. Di samping itu, negara ini juga menghasilkan timah bermutu tinggi, mutiara, kapur barus, kulit penyu, burung enggang, kayu laka dana gaharu.

Sebenarnya tidak banyak maklumat tentang Tambralingga ini yang merujuk kepada aspek pemerintahan, namun dalam satu Inskripsi Kemboja ada mencatatkan bahawa ada seorang putera daripada kerajaan Tambralingga yang bernama Suryawarman telah diangkat menjadi pemerintah Angkor pada tahun 1010 Masihi setelah merampas kuasa daripada raja sebelumnya Udayadityawarman I pada tahun 1002 Masihi. Beliau digelar sebagai Suryawarman 1 (1002 – 1050 Masihi).

Walaupun perwakilan pertama kerajaan Tambralingga ke China dikirimkan pada tahun 1196 Masihi, akan tetapi Tambralingga hanya jelas telah dapat memerdekakan diri daripada Suwarnabhumi (San-fo-tsi) sekitar tahun 1230 Masihi. Pemeberontakan Tambralingga kepada Suwarnabhumi ini telah dipimpin oleh Chandrabhanu. Inskripsi Caiya mencatatkan tentang usaha Chandrabhanu meluaskan tanah jajahannya. Mengikut Slamet Muljana mengandaikan bahawa di bawah pemerintahan Chandrabhanu, kerajaan Tambralingga telah menjadi sebuah kerajaan yang terkemuka di Asia Tenggara dan menjadi saingan kepada kerajaan Suwarnabhumi. Pada tahun 1247 Masihi dan 1271 Masihi, Chandrabhanu telah melancarkan serangan ke atas Sri Lanka tetapi gagal menawannya. Kitab Culawangsa mengesahkan secara terperinci kedua-dua serangan ini.

Kita tidak tahu bilakah sebenarnya kerajaan ini hilang terus dari sejarah kerana pada adab ke-17 Masihi, ia masih disebut dalam catatan Cina, San tsai t’u hui. Namun, nampaknya kerajaan itu sudah begitu mundur ketika itu kerana ia tidak beraja lagi sedangkan semenjak abad ke-11 Masih hingga abad ke-13 Masihi diketahui ianya mempunyai raja dan kekuasaanya meluas hingga meliputi seluruh utara semenanjung.

Tuesday, July 30, 2013

Langkasuka


Kerajaan Langkasuka merupakan salah sebuah kerajaan Melayu tertua yang pernah wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Mengikut Liang-shu, sebuah catatan China, Langkasuka ditubuhkan pada abad ke-2 Masihi. Hikayat Merong Mahawangsa menyatakan bahawa Kerajaan Langkasuka ini berkait rapat dengan Kerajaan Keda Tua (Kataha/Kadaram), malah ia merupakan dua kerajaan kembar yang menguasai sebahagian besar bahagian utara semenanjung Tanah Melayu dari Pantai Timur ke Pantai Baratnya. Hikayat Merong Mahawangsa mencatatkan bahawa kedudukan kota itu adalah di sekitar Gunung Jerai di Kedah hari ini.

Daripada kajian yang dijalankan oleh ahli sejarah kemudiannya, dakwaan Hikayat Merong Mahawangsa itu tidak dapat dipertahankan. Melalui catatan Arab dan China jelas menunjukkan bahawa kedudukan Langkasuka itu adalah di antara Singgora dengan Kelantan dan lebih tepat ia dikatakan berkedudukan di kawasan Patani sekarang ini.

Langkasuka ini dikenali dengan beberapa nama iaitu sebagai Lang-ya-shiu, Lang-hsi-chia dan Lang-chia-shu. Dalam catatan Arab, ia dikenali sebagai Langasyuka, manakala dalam inskripsi Tanjore, peninggalan raja Rajendra Cola I dari kerajaan Cola (India Selatan), ia dikenali sebagai Ilangasoka.

Semenjak dari penubuhannya, Langkasuka telah dikuasainya oleh kerajaan Funan sehinggalah ke separuh kedua abad ke-6 Masihi apabila ia dapat memerdekakan dirinya. Semasa ia dikuasai Funan, Langkasuka menjadi pelabuhan utama Funan di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu yang mengendalikan perdagangan di antara China dan India. Di samping itu Langkasuka juga dikenali oleh pedagang-pedagang asing sebagai pengeluar gaharu dan kapur barus yang bermutu tinggi. Akan tetapi sekitar abad ke-9 Masihi kepentingan Langkasuka semakin merosot hingga Tang-shih (Sejarah Tang) tidak lagi menyebut apa-apa tentang Langkasuka.

Mengikut catatan China, pada abad ke-6 Masihi, iaitu selepas merdeka daripada Funan, Langkasuka telah mengirimkan empat utusan ke istana China. Ia terus menghantar utusan sepanjang abad ke-7 dan 8 Masihi. Langkasuka menjadi transit pendeta-pendeta Budha dari China untuk ke India. Mereka akan berjalan merentasi Semenanjung ke Kataha dari mana mereka akan belayar ke India.

Pada peringkat awal kewujudan kerajaan Langkasuka dan Kedah ini, kedua-duanya dipengaruhi oleh agama Budha Hinayana. Kemudiannya, Kedah telah dipengaruhi oleh agama Hindu, namun ia tidak berlaku di Langkasuka. 

Setelah ditawan Sriwijaya, Langkasuka mula hilang fungsinya sebagai pelabuhan utama. Sejak abad ke-8Masihi, pelaut-pelaut Cina nampaknya lebih mengutamakan jalan laut disebelah pesisir timur Laut China Selatan, iaitu ke Brunei dan kemudiannya terus ke pelabuhan-pelabuhan Sriwijaya di Selat Sunda dan Selat Melaka. Di samping itu, mubaligh-mubaligh Budha enggan singgah di Langkasuka kerana perubahan kepercayaan di Kedah. Mereka lebih suka singgah di ibu kota Sriwijaya, Palembang kerana penduduknya beragama Budha.

Mengikut catatan Nagarakartagama, pada abad ke-14, Langkasuka telah ditawan oleh Majapahit. Di bawah kekuasaan Majapahit kedudukan Langkasuka semakin merosot hingga tidak ada lagi catatan tentangnya hingga ke abad 16 Masihi, apabila ia disebut sekali lagi oleh seorang pelaut Arab iaitu Sulaiman al-Masri dalam pelayarannya pada 1511 Masihi. Namun, orang Portugis di Melaka tidak pernah mengetahui tentang wujudnya Langkasuka pada masa itu. Yang mereka tahu hanyalah Patani.

Kedah Tua


Kerajaan Kedah Tua ini dipercayai telah wujud sejak abad ke-2 Masihi dan ianya dikenali dengan pelbagai nama. Dalam bahasa Sanskrit ia dikenali sebagai Kataha, dalam bahasa Tamil, ianya dikenali sebagai Kadaram dan dalam bahasa Cina ia dirujuk sebagai Cheih-ch’a serta dalam bahasa Arab ia dikenali sebagai Kallah.

Sejak dari penubuhannya, Kedah telah dikuasai oleh Kerajaan Funan sehinggalah ke separuh abad ke-6 Masihi apabila ia memperoleh kemerdekaanya. Namun, sekitar abad ke-9 Masihi, Kedah dikuasai pula oleh Kerajaan Sriwijaya.

Orang-orang Tamil ada menyebut mengenai Kedah dalam puisi mereka, Pattinappalai pada abad ke-2 atau 3 Masihi. Dikatakan dari pelabuhan itulah yang disebutnya Kalagam yang sama dengan Kadaram dan dari sinilah di bawa barang tertentu ke Kota Puhar (Kaverippattinam). Selain dari itu Kedah juga disebut dalam karya sastera Sanskrit dan Prakrit sebagai Kataha Dvipa dan kotanya pula Katahanagara.

Kedah telah menjadi sebuah pelabuhan yang penting semenjak abad ke-3 Masihi dan dikenali oleh orang China telah awal-awal lagi serta menjadi pelabuhan tempat pendeta-pendeta Budha Cina yang dalam perjalanan ke India. Pendeta-pendeta ini akan mendarat di Langkasuka dan berjalan kaki merentasi Segenting Kra menuju ke Kedah dari mana mereka akan belayar ke India. Berdasarkan kepada rekod yang ditulis oleh Ma Tuan-lin, Kedah pernah menghantar utusan ke China pada tahun 638 Masihi.

Pada peringkat awal kewujudan kerajaan Kedah Tua ini, ianya dipengaruhi oleh Budha Therawada (Hinayana). Beberapa buah patung Budha gaya Amarawati dan Gupta telah ditemui dinegeri ini. Namun pada antara abad ke-6 dan ke-7 Masihi ianya dipengaruhi oleh agama Hindu (Sivaisme). Pengaruh India yang diterimanya ini adalah berasal dari Pallawa, selatan India. Pengaruh Pallawa ini sungguh kuat di Kedah hingga semua Inskripsi awal yang dijumpai di Kedah tertulis dalam tulisan Pallawa.

Kolonel James Low melaporkan pada abad ke-19 Masihi sekitar 1840-an bahawa beliau pernah menemui peninggalan-peninggalan koloni India dan candi-candinya serta patung-patung telah pecah-pecah di sepanjang kaki Gunung Jerai di Kedah. Low juga telah menemui tujuh bahagian inskripsi dalam bahasa Sanskrit yang berasal dari abad ke-4 Masihi yang ditemuinya di Cherok Tok Kun di Seberang Prai. Beliau juga telah memperoleh dua inskripsi Budha dalam bahasa Sanskrit dari Bukit Meriam dan sebuah batu bersurat di Guar Kepah. Pada batu bersurat itu tertulis doa-doa dalam bahasa Sanskrit tulisan Pallawa untuk keselamatan pelayaran yang akan dilakukan oleh seorang nakhoda bernama Budhagupta yang tinggal di Raktamrittika (Tanah Merah).

Daripada peninggalan dan runtuhan yang ditemui di Kedah, hanya sebuah sahaja yang dijumpai di utara Gunung Jerai yang merupakan bahagian bawah Stupa abad ke-4 Masihi. Puing ini merupakan peninggalan kebudayaan India yang tertua pernah ditemui di Kedah. Pada peringkat awal, raja-raja Pallawa beragama Budha menyebabkan Kedah juga dipengaruhi oleh agama itu. Agama Budha telah bertapak dengan kukuhnya di Kedah sekitar abad ke-5 Masihi. Justeru itu, ditemui artifak-artifak kesan agama Budha Therawada (Hinayana) berupa stupa dan inskripsi di Kedah dan Sebarang Prai yang lebih awal daripada abad ke-7 Masihi. Antara tempat yang ditemui inskripsi dan stupa itu adalah di Cherok Tok Kun (Bukit Mertajam), Seberang Prai, Bukit Meriam, Bukit Choras di tebing Sungai Sala dan di tebing Sungai Bujang. Di samping itu terdapat juga inskripsi-inskripsi Budha Mahayana seperti yang dijumpai di Kampung Pangkalan Bujangdan di Kampung Sungai Mas.

Akan tetapi pada akhir abad ke-6 Masihi dan abad ke-7 Masihi telah berlaku pembaharuan dalam agama rasmi Kerajaan Pallawa. Raja-rajanya mula menerima agama Hindu (Sivaisme). Oleh kerana itu, Kedah juga mengamalkan agama Hindu. Berikutan itu, pendeta-pendeta Budha dari China mula berkurangan singgah di Kedah.

Mengikut laporan I-Tsing, Kedah telah dikuasai oleh Sriwijaya sekitar abad ke-7 Masihi namun agama Hindu masih menjadi anutan penduduk di Kedah. Orang Hindu di Kedah boleh bekerjasama dengan erat dengan orang-orang Budha dari Sriwijaya. Di Lembah Bujang telah ditemui bukti-bukti tentang penyembahan Siva dan Ganesa. Namun, terdapat juga candi-candi di bina bagi penyembahan Hindu atau Budha tantrik seperti yang terdapat di Bukit Batu Pahat.

Kedah menjadi sebuah pusat perdagangan yang maju sekitar abad ke-9 Masihi. Pada masa ini pusat pemerintahannya terletak di bahagian tengah Lembah Bujang. Ia merupakan pelabuhan utama kerajaan Sriwijaya masa itu. Akan tetapi pada awal abad ke 10 Masihi, nampaknya ibu kota kerajaan ini telah dipindahkan ke Kuala Sungai Merbok. Kemungkinan besar kuala itu lebih sesuai dijadikan pelabuhan.

Seawal abad ke-9 juga,  Kedah telah mempunyai hubungan dengan Dunia Arab (Islam). Buktinya ianya telah jumpaan syiling setengah dirham Zaman Khalifah al-Mutawalul (847 – 861 Masihi) bertarikh 848 Masihi telah dijumpai di Lembah Bujang. Di samping itu, perdagangan dengan China juga agak pesat zaman ini. Serpihan-serpihak tembikar dan kaca Zaman Tang telah ditemui di lembah itu.

Permusuhan antara Kerajaan Cola di Selatan India dengan Sriwijaya menyebabkan pihak Cola telah menyerang dan merosakkan Palembang dan Kedah sekitar 1025  Masihi. Selepas pengunduran tentera Cola, Kedah telah bangkit semula sebagai sebuah pelabuhan yang penting hingga mampu memberontak melawan Sriwijaya pada 1068 Masihi. Kerajaan Sriwijaya dengan bantuan Cola telah berjaya mematahkan pemberontakan itu. Di katakan Raja Wirarajendra Cola telah membantu Raja Sriwijaya dalam menundukan pemberontakan orang Kedah itu.

Pada abad ke 11 Masihi, Kedah menjadi semakin penting dengan pertambahan pedagang Arab (Islam) di Asia Tenggara. Orang memanggilnya Kallah. Mengikut pandangan Sarjana sejarah, H.G.Q Wales, pada orang Arab ada dua Kallah. Sebelum abad ke-11 Masihi, pelabuhan yang dipanggil Kallah oleh orang Arab itu sebagai Takuapa yang terletak di Pantai Barat wilayah Tambralingga di utara Kataha (Kedah). Akan tetapi  pada abad ke-11, pelabuhan Kallah yang disebut oleh pedagang-pedagang Arab itu adalah Kedah (Pengkalan Bujang).

Semasa perhubungan antara Kedah dan Dunia Arab semakin rancak, Kallah merupakan pelabuhan etrepot yang besar. Sejak abad ke 11 Masihi perdagangan dengan pihak China juga menjadi lebih pesat. Pelabuhan Bujang ketika itu menjadi pelabuhan antarabangsa yang penting bagi hasil dagangan timur-barat. Di samping peninggalan objek-objek dari Timur Tengah seperti lampu kaca Arab, botol-botol Arab dan tembikar Parsi, telah dijumpai juga di kawasan ini serpihan-serpihan tembikar China Zaman Sung dan Yuan.


Pada abad ke-13 Masihi, agama Budha Hinayana (Therawada) telah muncul kembali di sekitar Semenanjung hasi kegiatan seorang pemerintah Tambralingga yang dikenali sebagai Candrabhanu. Walaupun demikian tidak ada bukti yang menunjukkan perkembangan Budha Hinayana berasal dari Sri Lanka itu telah mempengaruhi Kedah. Candrabhanu nampaknya hanya menumpukan perhatian ke kawasan utara Kedah. Kedah pada abad ke-13 Masihi itu kelihatannya masih dikuasai oleh Sriwijaya.

Friday, July 19, 2013

Kemboja Silam : Angkor 4


1220 Masihi, tentera Angkor telah berundur dari Campa dan menyerahkan takhta Campa kepada seorang putera Cam yang bernama Angsaraja, iaitu putera kepada Jaya Hariwarman II yang pernah tinggal di istana Angkor. Pengunduran tentera Angkor ini adalah berpunca daripada kemangkatan Jayawarman VII. Selepas kematian Jayawarman VII, agama Budha mulai mundur di Kemboja. Penyembahan Budharaja digantikan kembali dengan Dewaraja. Lokeswara digantikan dengan Lingga.

Pengunduran tentera Angkor dari Campa menandakan permulaan kelemahan kerajaan Angkor. Tidak lama kemudian, kerajaan Melayu Tambralingga telah membebaskan dirinya daripada Angkor. Orang Siam mula menguasai wilayah-wilayah yang dahulunya dikuasai oleh orang Khmer di hulu Menam Chao Phraya.
Antara raja-raja Kemboja yang utama selepas Jayawarman VII ialah Jayawarman VIII (1243 – 1295 Masihi). Baginda dikatakan raja yang paling lama memerintah Angkor. Namun sepanjang pemerintahan baginda, tiada apa-apa keistimewaan kecuali perkembangan agama Hindu  hingga mempengaruhi Istana. Semasa pemerintahan beliau juga, orang Siam di bawah taklukannya telah bangun memberontak dan membebaskan wilayah mereka, iaitu wilayah yang hari ini merangkumi Negara Thai moden.

Salah seorang pembesar Siam itu yang merupakan menantu Jayawarman VII bernama Rama Khambeng telah mengisytiharkan dirinya merdeka daripada kekuasaan Angkor. Beliau telah dapat mengalahkan pasukan tentera Gabenor Angkor di hulu Sungai Chao Phraya dan kemudian menubuhkan sebuah kerajaan sendiri bernama Sukhotai.

Semasa pemerintahan Jayawarman VIII ini juga orang Monggol telah menyerang Campa dan Kemboja pada tahun 1283 Masihi, tentera Monggol itu dikatakan telah dipimpin oleh seorang panglima tentera yang bernama Sulaiman telah dapat dikalahkan oleh pihak Angkor dan mereka ditawan atau kemungkinan dibunuh kesemuanya. Walaupun demikian pada tahun 1285 Masihi, Angkor telah mengirimkan utusan ke China untuk meminta maaf dan berjanji untuk membayar ufti kepada Kublai Khan.

Mengikut laporan yang ditulis oleh Duta China ke Kemboja, Chou Ta Kuan, yang melawat negara itu pada 1296 Masihi, keadaan Kemboja begitu teruk akibat peperangan dengan Siam. Ketika itu dilaporkan Jayawarman VIII telah tua dan pada tahun 1295 Masihi telah turun takhta untuk menempatkan menantunya Putera Srindrawarman sebagai raja. Justeru itu, disamping menghadapi serangan dari Siam, Angkor juga berada dalam kancah perang saudara antara menantu Jayawarman VIII dengan puteranya yang berasa kecewa tidak diangkat menjadi raja. Selain dari itu, Angkor ketika di bawah pemerintahan Jayarawarman VIII ini menghadapi perbalahan agama antara penganut agama Budha dan Hindu.

Srindrawarman memerintah Angkor hingga 1307 Masihi. Setelah itu baginda turun takhta dan digantikan oleh putera mahkotanya iaitu Srindrajayawarman (1307 – 1327 Masihi). Pewaris ini tidak dapat dipastikan perhubungan sebenar dengan Srindrawarman. Di bawah pemerintahannya agama Budha berkembang semula, disamping itu catatan-catatan yang ditulis pada masa ini menggunakan bahasa pali, tidak lagi bahasa Sanskrit. Pada tahun 1309 Masihi, baginda telah mengirimkan perutusan ke China dan pada 1335 Masihi, telah menghantar satu lagi delagasi ke Genting Cua Rao untuk menyambut lawatan maharaja Dai Viet, Tran Hien-tong.

Sekitar tahun 1352 Masihi, Angkor telah diserang oleh sebuah kerajaan baru orang Siam iaitu Kerajaan Ayuthia yang menggantikan Sukhothai. Ramadhipati, pengasas Ayuthia telah menyerang Angkor ketika dibawah pemerintahan Lampongraja (1346 – 1351 Masihi). Akhirnya Angkor telah menyerah kalah pada tahun 1353 Masihi dan seorang putera Siam telah diangkat menjadi rajanya. Akan tetapi pada tahun 1357 Masihi, salah seorang adik Lampongraja yang lari ke Laos telah dapat menawan semula kota itu kembali dan ditabalkan sebagai raja dengan gelaran Suryawarman Rajadhiraja.

Hal ini telah membuatkan Ayuthia menyerang Angkor semula tetapi dapat dipertahankan oleh Suryawarman. Baginda kemudian telah membuat perhubungan dengan China dan menghantar ufti. Suryawarman telah mangkat pada 1377 Masihi dan digantikan oleh anak saudaranya iaitu putera kepada Lampongraja bernama Paramrama dengan gelaran Samdaach Kambhudhiraja. Pada tahun 1380 Masihi, setelah kemangkatannya, baginda telah digantikan oleh adiknya Dhammasokarajadhiraja.

Semasa pemerintahan raja inilah iaitu pada tahun  1393 Masihi, Raja Siam, Ramesuan telah menyerang Angkor. Kota itu dikepung hampir setahun hingga akhirnya dia menyerah kalah. Raja Dhammasokarajadhiraja telah mati terbunuh dalam pertempuran. Pihak Siam telah menempatkan puteranya yang bernama Indraraja sebagai Raja Kemboja. Namun beliau telah mati dibunuh oleh orang Kemboja.


Hingga ke tahun 1430, Kerajaan Angkor masih menjadi pusat pentadbiran dan kebudayaan orang Kemboja. Akan tetapi pada 1431 pemerintahnya pada masa itu Suryawarman (Chao Ponhea Yat) telah mengambil keputusan untuk meninggalkan begitu sahaja Kota Angkor kerana ianya terlalu terbuka dan sukar untuk dipertahankan. Baginda telah memindahkan ibu kotanya ke Basan dan kemudian ke Quatre-Bras di sekitar Phom Penh hari ini pada 1446 Masihi. Dengan itu tamatlah keagungan Angkor yang menjadi nadi dan pusat budaya orang Khmer selama lebih kurang 6 abad. Namun, kerajaan Kemboja berterusan dari pusat barunya di Phnom Penh dan Lovek hingga ditewaskan Siam pada 1595 Masihi. 

Thursday, July 18, 2013

Kemboja Silam : Angkor 3

Angkor Wat yang dibina oleh Suryawarman II

1113 Masihi, salah seorang anggota keluarga dinasti baru itu telah merampas kuasa daripada Dharanindrawarman I, yang memerintah ketika itu. Baginda kemudian telah mengisytiharkan diri sebagai Suryawarman II  (1113 – 1150 Masihi). Suryawarman II dianggap sebagai raja yang teragung dalam sejarah orang Khmer. Mengkikut Sejarah Sung, wilayah kekuasaan Angkor ketika itu sangat luas dan mungkin teluas dalam sejarahnya. Kawasan takluknya meliputi bahagian wilayah utara Campa hingga ke Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu. Namun begitu, Suryawarman II gagal menguasai seluruh Campa dan Annam.

Semasa pemerintahan Suryawarman II, perhubungan diplomatik dengan China telah diadakan. Utusan Angkor yang pertama dikirimkan ke China adalah dalam tahun 1116 Masihi dan utusan kedua pada tahun 1120 Masihi dan diikuti oleh utusan ketiga pada 1128 Masihi.

Suryawarman bukan sahaja seorang wira perang yang handal tetapi juga seorang pencinta seni terutama seni bina. Di bawah pemerintahannyalah sebuah candi teragung di Kemboja telah dibina iaitu Angkor Wat dan sejarahwan mengandaikan bahawa ianya sebuah binaan keagamaan terbesar di dunia. Ia merupakan candi pemujaan tuhan Hindu iaitu Wisnu. Didalamnya terdapat sebuah patung wisnu yang diperbuat daripada emas sedang menunggang garuda. Walaupun wisnu diagungkan, siva juga disembah. Angkor Wat merupakan sebuah replika dalam bentuk batu tentang kosmologi (mikrokosm) orang Khmer-Melayu. Bangunan Candi ditengah-tengah dianggap sebagai Gunung Meru (Mahameru), paksi alam yang dikemuncaknya tinggal para dewa. Menaranya yang lima buah itu melambangkan lima puncak Gunung Meru dan tembok yang mengelilinginya mewakili banjarannya yang dipinggir dunia. Sementara parit yang melingkarinya melambangkan lautan.

Suryawarman II mangkat sekitar 1150 Masihi dan digantikan oleh sepupunya Dharanindrawarman II. Baginda adalah seorang penganut agama Budha dan menyebabkan segala monumen Hindu yang dibina oleh Suryawarman II dan raja-raja sebelumnya terbengkalai. Tambahan keadaan ekonomi Angkor pada masa itu amat teruk ekoran dari keghairahan Suryawarman dalam membina candi dan monumen. Setelah kemangkatan Dharaindrawarman II pada 1160 Masihi, baginda digantikan oleh Yasorwarman II (1160 Masihi – 1166 Masihi).

Semasa pemerintahan Yasorwarman II ini telah berlaku dua pemberontakan yang membawa kepada rampasan kuasa dan kematiannya. Yasorwarman telah digulingkan oleh seorang menterinya iaitu Thribhuwanadityawarman pada tahun 1166 Masihi. Pada tahun 1167 Masihi, JayaIndrawarman IV dari Campa telah menyerang Kemboja dan sepuluh tahunkemudiannya (1177 Masihi), baginda telah berjaya menawan dan merampas hartabenda dari Angkor dan Thribhuwanadityawarman telah terbunuh dalam pertempuranitu.

Pencerobohan dari Campa ini telah menyebabkan Kemboja huru hara dan keadaan anarki muncul kembali dalam negara itu. Kemboja yang hampir lumpuh telah dapat diselamatkan oleh Jayawarman, abang kepada Yasorwarman II. Jayawarman adalah perwaris yang sah kerajaan Kemboja-Angkor setelah kemangkatan ayahandanya Dharaindrawarman II. Namun baginda telah mengundurkan diri daripada perebutan takhta dengan adiknya Yasowarman dan menjadi pendeta Budha. Jayawarman telah kembali ke Angkor dan menyusun saki baki tentera Kemboja bagi menentang dan menghalau keluar orang Cam dari Angkor. Baginda kemudiannya telah mententeramkan kembali keadaan dalam negeri dan mengangkat dirinya sebagai raja Angkor pada tahu 1181 Masihi. Baginda dikenali dalam sejarah sebagai Jayawarman VII.

Dengan bantuan seorang putera pelarian dari Campa di Kemboja, Vidyanandana, Jayawarman VII telah berjaya menakluki Campa pada tahun 1190 Masihi.  Pemerintah Campa, Jaya Indrawarman IV telah ditawan dan dibawa ke Angkor. Campa kemudiannya dibahagia dua, satu berpusat di Pandurangga diperintah oleh Vidyanandana dan satu lagi berpusat di Wijaya yang diperintah oleh Putera In iaitu putera kepada Vidyanandana pada tahun 1192 Masihi. Kemudian Vidyanandana telah menggelarkan dirinya sebagai Suryawarman dan mengisytiharkan Campa merdeka daripada Angkor dan menyebabkan Campa sering diserang Jayawarman VII.

Pada tahu 1203, tentera Angkor telah berjaya sekali lagi menawan Campa dan seorang lagi pembesar Campa telah dilantik menjadi raja dan orang itu dikenali sebagai Ong Dhama Patigrama yang pernah tinggal di istana Angkor. Dalam masa Jayawarman VII ini, kekuasaan Angkor meluas hingga ke sempadan Annam di utara dan Tanah Melayu di Selatan.

Jayawarman VII telah mengukuhkan pertahanan Angkor untuk mengelakkan serangan-serangan luar. Baginda telah membina sebuah kota yang berbenteng teguh yang dikenali sebagai Angkor Thom. Kota ini dikelilingi oleh parit dan benteng laterit yang kukuh dan teguh. Ia mempunyai 5 pintu gerbang yang besar. Di tengah-tengah kota ini dibina sebuah candi yang dikenali Candi Bayon yang berbentuk piramid dengan sebuah menara emas yang berbentuk empat muka manusia yang besar. Muka-muka itu sebenarnya merupakan wajah Jayawarman sendiri sebagai Awalokiteswara (Lokeswara), iaitu salah satu bentuk Bodhisttwa Mahayana yang merupakan sembahan utama mazhab Mahayana. Mengikut Coedes, tugu itu bukan sahaja pengganti Siva tetapi sebagai gantian agama Budha untuk Dewaraja fahaman Siva. Ia juga merupakan jelmaan raja pengasas dinasti itu. Kult ini dikenali sebagai Budharaja.


Di samping membina candi, Jayawarman VII juga terkenal sebagai pembina rumah-rumah rehat dan hospital. Dikatakan baginda telah membina 57 buah rumah rehat di sepanjang perjalanan di antara Angkor dengan ibu kota Campa di Wijaya. Baginda telah mendirikan 102 buah hospital di seluruh negaranya. Jayawarman telah mangkat pada 1218 Masihi dan digelar Mahaparamsaugata.

Wednesday, July 17, 2013

Kemboja Silam : Angkor 2

Pintu Selatan Candi Baphuon

Indrawarman telah digantikan oleh puteranya, Yasowardhana yang bergelar Yasowarman I. Beliau adalah seorang raja yang kuat berpegang kepada agama Hindu kesan dari ajaran gurunya, Brahman Wamasiva yang merupakan pemelihara kultur Dewaraja. Sebaik sahaja menaiki takhta pada 889 Masihi, baginda memerintahkan supaya didirikan lebih kurang 100 buah biara di sekitar wilayah kekuasaannya. Setiap biara mempunyai pentas diraja yang khas untuk raja yang ketika baginda dalam perjalanan.

Pada tahun 893 Masihi, Yasowarman telah membina sebuah biara ditengah-tengah Indrataka, sebuah tasik buatan yang dibina oleh bapanya. Pada mulanya baginda tinggal di Hariharalaya, namun baginda telah membina sebuah kota baru yang dikenali kota Yasodharapura yang merupakan bandar asal Angkor. Kemudian baginda telah membina Gunung Pusat (Gunung Suci) untuk kerajaan di mana ditengah-tengahnya didirikan lingga suci. Baginda kemudiannya telah membina jalan bagi menghubungkan ibu kotanya dengan ibu kotanya Hariharalaya. Baginda juga telah membina tasik tiruan yang luas di bahagian timur laut kota Yasodharapura. Tasik ini dikenali sebagai Yasodharatataka. Di bahagian selatan tasik ini didirikan beberapa biara untuk mazhab-mazhab agama Hindu yang dianuti oleh penduduk negaranya seperti Sivaisme, Visnuisme dan juga Budha. Yasowarman memerintah hingga tahun 900 Masihi. Dalam zaman baginda ini, wilayah kekuasaan Kemboja dikatakan seluas jajahan Funan semasa kegemilangannya.

Kemudian baginda digantikan oleh pemerintahan Hashawarman I pada tahun 922 Masihi, Isnawarman II pada tahun 928 Masihi, dan Jayawarman IV pada 928 – 942 Masihi. Jayawarman IV ini tidak jelas tentang keturunannya. Mengikut G.D. Hall, beliau adalah seorang perampas kuasa daripada pemerintah yang lebih berhak. Beliau telah dihalau keluar dari Yasodharapura (Angkor) dan membina ibu kotanya di Koh Kar.

Semasa pemerintahan Hashawarman II, putera kepada Jayawarman IV telah berlaku satu rampasan kuasa daripada kalangan keturunan Yasowarman yang dipimpin oleh Rajendrawarman II (944 – 968 Masihi). Baginda telah memindahkan kembali ibu kota Kemboka ke Angkor (Yasodharapura). Angkor kekal menjadi ibu kota orang Khmer hingga 1432 Masihi apabila ia ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebab yang jelas. Dalam masa pemerintahan Rajendrawarman II ini Kemboja menjadi sebuah negara yang kuat hingga sanggup menyerang jirannya, Campa. Baginda dikatakan telah membangun dan memperindahkan lagi kota Angkor dengan bangunan-bangunan yang berkilau-kilauan.

Dalam masa pemerintahan Suryawarman I (1002 – 1050 Masihi) yang dianggap salah seorang raja teragung Angkor, kerajaan Angkor menjadi lebih agung. Suryawarman I mungkin menaiki takhta Angkor setelah merampas kuasa daripada raja sebelumnya Udayadityawarman I (1001-1002). Baginda bukan sahaja keturunan Rajendrawarman II (944 – 968 Masihi) atau Jayawarman (968 – 1001 Masihi), akan tetapi menuntut takhta Angkor kerana keturunan sebelah ibunya. G.D.Hall menyatakan bahawa Suryawarman adalah putera Kerajaan Tambralingga di Semenanjung Tanah Melayu dan melibatkan dirinya dalam perang saudara yang berlaku di Angkor sekitar 1001 Masihi. Akhirnya pada 1002 Masihi, baginda telah berjaya menaikit takhta Angkor. Namun begitu, baginda terpaksa menghadapi tentangan daripada seorang lagi penuntut takhta yang bernama Jayawirawarman. Namun Suryarwarman telah berjaya mematahkan tentangan ini pada 1007 Masihi.

Semasa pemerintahan Suryawarman ini banyak bangunan indah telah dibina. Di antaranya Phimeanakas atau Istana Langit yang berbentuk piramid dan Ta Kee sebuah candi yang diperbuat daripada batu pasir. Pada waktu ini, empayar Angkor meluas hingga meliputi negara Dwarawati orang Mon dan negara Tambralingga orang Melayu. Ia juga meliputi lembah Mekong sampai ke Luang Perabang di Laos.

Apabila sesebuah empayar itu menjadi terlalu luas, maka ia menjadi semakin sukar untuk ditadbir. Kebangkitan dan pemberontakan sering berlaku di wilayah-wilayah yang dikuasai itu. Oleh kerana itu, selepas pemerintahan Udayadityawarman II (1050 – 1066 Masihi), raja-raja Angkor seterusnya sentiasa sibuk untuk memadamkan pemberontakan. Semasa pemerintahan Udayadityawarman, baginda telah membina candi yang terbesar di Kemboja untuk penyembahan Dewa Siva. Candi ini dikenali sebagai candi Baphuon. Ia disaluti dengan emas dan didalamnya didirikan sebatang Lingga emas. Dinasti ini berakhir sekitar tahun 1080 Masihi apabila Harshawarman III (1066 – 1080 Masihi) digulingkan oleh seorang putera daripada jajahan takluk Angkor yang bernama Jayawarman. Baginda dikatakan berasal dari sebuah kota yang bernama Mahidharapura. Jayawarman telah mewujudkan satu dinasti baru di Angkor. Baginda dikenali dalam sejarah sebagai Jayawarman VI. Baginda terpaksa pula berhadapan dengan pemberontakan daripada keturunan Harshawarman III dan pemberontakan ini berterusan sehingga 1113 Masihi.


Dalam tahun 1113 Masihi, salah seorang anggota keluarga dinasti baru itu telah merampas kuasa daripada Dharanindrawarman I, yang memerintah ketika itu. Baginda kemudian telah mengisytiharkan Suryawarman (1113 – 1150 Masihi)

Kemboja Silam : Angkor 1

Salah Satu Ukiran Patung yang ada di Angkor

Pada akhir abad ke-8 Masihi, dikatakan kerajaan Jawa telah menyerang dan menawan Kemboja. Serangan ini tidak dapat dipastikan dari arah mana sebenarnya. Sejarahwan berpendapat Kemboja berkemungkinan diserang oleh Jawa sebenar, atau Sriwijaya atau Tanah Melayu. Campa juga telah diserang pada masa yang sama dan ianya berlaku pada 774 Masihi dan 787 Masihi. Mengikut catatan Arab, kerajaan Kemboja telah diserang oleh Zabaq (Muara Sabak / Sriwijaya) semasa pemerintahan rajanya yang bernama Mahipatiwarman kerana perbuatan raja itu menghina Maharaja Sriwijaya. G Akan tetapi jelas disini bahawa tindakan Jawa atau Sriwijaya menyerang Kemboja ini mengambil kesempatan kelemahan negara itu yang berada dalam pemerintahan yang lemah pada abad ke-8 Masihi. Mengikut satu prasasti, Kemboja ini dapat ditawan semasa pemerintahan Sanjaya.

Pembebasan Kemboja daripada penaklukan Sriwijaya ini telah dilakukan oleh pemerintah Cenla Air yang bernama Jayawarman II yang juga merupakan pengasas kerajaan Angkor. Jayawarman II dikatakan berasal dari Sriwijaya namun begitu, beliau masih mempunyai pertalian darah dengan kerajaan Cenla. Jayawarman II adalah anak saudara Raja Jayendradhiipatiwarman. Mengikut Coedes, keluarga Jayawarman telah melarikan diri ke Jawa semasa berlakunya kekacauan di Kemboja dan juga mungkin mereka telah ditawan oleh tentera Jawa yang sering menyerang negara itu. Jayawarman II dikatakan kembali ke Kemboja sekitar tahun 800 Masihi dan menaiki takhta pada 802 Masihi di Indrapura dan beliau telah berusaha menyatukan kembali Kemboja@Cenla yang ketika itu sudah berpecah belah.

Semasa pemerintahan Jayawarman II ini, baginda telah melantik seorang Brahman bernama Sivakaiwalya menjadi penasihatnya. Dengan bantuan daripada Brahman inilah akhirnya Jayawarman berjaya mewujudkan sebuah kuil Hindu (fahaman Siva) di Asia Tenggara, iaitu Dewaraja (Raja-Tuhan). Kultus ini menumpukan kepada penyembahan lingga sebagai peribadi suci raja yang diberikan Siva kepadanya. Kemakmuran Kemboja dianggap bergantung kepada lingga itu. Ia didirikan diatasa kemuncak gunung suci, sama ada gunung asli atau gunung buatan yang didirikan di tengah-tengah ibu kota negara itu. Gunung ini dianggap sebagai paksi alam sejagat. Konsep Gunung Suci ini mungkin diperkenalkan oleh Jayawarman II daripada negara purba Funan dan juga mungkin dari Jawa kerana beliau pernah berada di Jawa sebelum mejadi Raja Kemboja. Disamping itu kedua-dua negara itu mengakui mempunyai raja-raja yang bergelar Sailendra yang bermaksud Raja Gunung atau Raja dari Gunung.

Berdasarkan inskripsi Sdok Kak Thom, Jayawarman II diiringi oleh Sivakaiwalya kemudian telah memindahkan ibu kotanya ke bahagian utara Tonle Sap dan membina sebuah kota yang dikenali sebagai Hariharalaya. Kemudian, Jayawarman telah meninggalkan Hariharalaya dan membina Kota Amarendrapura setelah itu, Jayawarman ini memerintah pula dari Mahendraparwata. Di sini beliau telah menjemput seorang Brahman dari Janapada bernama Hiranyadama untuk mengangkat martabatnya sebagai chakrawartin, (pemerintah alam sejagat) dan membebaskan dirinya daripada bergantung kepada Jawa. Hiranyadama telah mengadakan ritual (upacara) vinasikha untuk menempatkan Jayawarman II sebagai “tuhan seluruh alam” (dewaraja). Beliau dikatakan telah mengajar Sivakaiwalya cara-cara mengendalikan upcara-upacara suci vinasikha, nayottata, samoha dan siraocheda. Sivakaiwalya dan keluarganya telah dipilih sebagai orang yang bertanggungjawab dalam pengendalian penyembahan dewaraja ini. Orang lain tidak dibenarkan dan Sivakaiwalya diangkat sebagai purohita (Ketua Sami@Penasihat).

Jayawarman II telah meninggal dunia di Hariharalaya pada tahun 850 Masihi setelah memerintah selama 48 tahun. Setelah kemangkatannya, beliau digelar Parameswara. Baginda telah digantikan oleh puteranya iaitu Jayawardhana (850 – 857 Masihi) dengan gelaran Jayawarman III. Setelah kemangkatakan Jayawarman III, baginda telah digantikan oleh Indrawarman pada tahun 877 Masihi. Indrawarman bukanlah putera Jayawarman III tetapi putera seorang raja yang kurang jelas latarbelakangnya yang dikenali sebagai Raja Prithivindrawarman.


Dalam pemerintahan Indrawarman, usaha-usaha telah dijalankan untuk memajukan pertanian. Baginda telah membina empangan bagi membentuk tasik-tasik tiruan yang airnya digunakan untuk pertanian dalam musim kemarau. Pada tahun 879 Masihi, baginda memerintahkan dibina sebuah menara yang diperbuat daripada bata di Preah Ko untuk memperingati bapa, ibu, datuk neneknya di sebelah ibu Jayawarman II serta isterinya (isteri Jayawarman II). Patung kedua yang terakhir ini disembah sebagai Siva dan Dewi. Pada tahun 881 Masihi pula Indrawarman telah membina sebuah tugu yang besar daripada batu untuk menempatkan lingga diraja Indreswara. Setelah mangkatnya pada 889 Masihi, baginda digelar Isvaraloka.

Tuesday, July 16, 2013

Kemboja Silam : Cenla

Lokasi Kerajaan Cenla

Nama Cenla (Kemboja) mula diketahui daripada catatan Sejarah Sui. Berdasarkan catatan tersebut, kita dapat ketahui bahawa Cenla ini pada asalnya merupakan wilayah takluk Funan. Namun, semasa pemerintahan Raja She-to-ssu-ma (Chitrasena), Cenla telah menjadi begitu kuat sehingga berjaya menawan Funan. Tidak seperti Funan dan Campa yang didirkan seluruhnya oleh suku bangsa Melayu, kerajaan Kemboja ini didirikan oleh gabungan Bangsa Melayu dan Khmer. Pada peringkat awal meman jelas Kerajaan Kemboja ini diasaskan oleh Dinasti Melayu akan tetapi kemudian ianya telah dikuasai oleh orang Khmer khususnya setelah terbentuk kerajaan Angkor.

Mengikut lagenda Kemboja, asal usul  bangsa Kemboja ini adalah daripada seorang petapa bernama Kambu Swayambhuwa yang berkahwin dengan seorang bidadari bernama Mera hadiah daripada Dewa Siva. Dari merekalah lahirnya zuriat raja-raja Kemboja. Raja yang pertama adalah Srutawarman dan diikuti oleh puteranya Sreshthawarma. Sebuah inskripsi yang ditemui  di Kemboja mencatatkan tentang penubuhan kerajaan Kemboja. Inskripsi itu telah diterjemahkan oleh seorang sejarahwan Asia Tenggara yang terkemuka iaitu R.C. Majumdar :

Adityavamsa, raja Indraprastha telah murka terhadap salah seorang puteranya dan membuangnya dari negeri. Baginda telah sampai ke sebuah negara yang bernama Kok Thlok dan menjadikan dirinya tuan dengan mengalahkan raja asal negara itu. Pada satu petang baginda berjalan-jalan di atas sebuah beting pasir apabila secara mengejut air naik pasang dan menyebabkan baginda terpaksa bermalam di situ. Seorang Nagi (bidadari) yang sangat rupawan telah datang bermain di atas pasir itu dan raja tadi kerana tertawan dengan kecantikkanya bersetuju mengahwininya. Dengan itu Naga-raja, bapa kepada gadis itu telah memperluaskan lagi kawasan pemerintahan bakal menantunya dengan meminum air yang menyeliputi negara itu, membina sebuah ibu kota untuknya menukar nama kerajaan itu kepada Kemboja.

Orang Kemboja menganggap diri mereka sebagai Bangsa Matahari manakala orang Funan sebagai Bangsa Bulan. Dalam masa pemerintahan kedua-dua raja ini, Kemboja (Cenla) telah mengisytiharkan mereka merdeka dari Funan. Semasa pemerintahan Raja Bhawawarman yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemerintah Funan, Cenla telah menjadi kuat hingga mampu memerangi wilayah-wilayah berhampiran. Bhawawarman yang merupakan cucu kepada pemerintah Funan ketika itu berjaya menjadi raja Cenla hasil daripada perkahwinannya dengan salah seorang Puteri Cenla. Hal ini diperkuatkan dengan jumpaan sebuah prasasti di Kemboja yang mencatatkan asal keturunan raja-rajanya daripada Kaundinya dan Naga Soma seperti leluhur pemerintah Funan dan Raja Rudrawarman dari Funan sebagai pengasas dinastinya.

Pengganti Bhawawarman, Chitrasena telah menaiki takhta sekitar 600 Masihi dengan gelaran Mahendrawarman telah meluaskan kuasanya. Walau bagaimanapun, ia tetap menjalinkan hubungan berbaik-baik dengan Campa. Kemudian beliau digantikan oleh anakandanya, Isanawarman, wilayah Cenla menjadi bertambah luas dengan menguasai wilayah-wilayah yang dahulunya dikuasai oleh Funan. Semasa pemerintahan Isanawarman inilah, Cenla menghantar utusan ke China buat pertama kalinya pada 616 Masihi dan berterusan sehingga beliau mangkat pada 635 Masihi. Semasa pemerintahan Isanawarman ini, pusat pemerintahan Cenla terletak di Isanapura.

Catatan Sejarah Sui dan tulisan Ma Tuan-li, ada menyebut semasa pemerintahan Isanawarman 616 – 635 Masihi, ibu kotanya didiami oleh dua puluh ribu keluarga. Ditengah-tengah kota terdapat balairong  tempat raja menerima penghadapan oleh pegawai dan rakyat jelatanya. Direkodkan juga, bahawa Cenla menguasai 30 buah kota lain yang setiap satunya dihuni oleh beberapa ribu keluarga. Setiap kota itu ditadbirkan oleh seorang gabenor. Tamadun Kemboja (Cenla) pra-Angkor ini banyak dipengaruhi oleh jirannya Campa terutama dalam hal-hal pertanian, agama dan seni. Isanawarman sendiri telah mengahwini seorang puteri Campa.

Selepas pemerintahan Isanawarman, Cenla telah diperintah oleh seorang yang tidak jelas asal keturunannya iaitu Bhavawarman dan baginda digantikan pula oleh puteranya iaitu Jayawarman 1 sekitar 657 Masihi. Baginda mangkat pada tahun 690 Masihi. Oleh kerana baginda tidak mempunyai perwaris lelaki, Cenla telah diperintah oleh seorang raja perempuan yang dikenali sebagai Jayadewi. Ketika di bawah pemerintahan Jayadewi ini, keadaan di Cenla menjadi teruk dengan berlakunya pemberontakan demi pemberontakan hingga Cenla berpecah menjadi dua. Kawasan utaranya yang terdiri daripada gunung dan lembah-lembah dikenali sebagai Cenla Darat, manakala bahagian selatannya yang dipinggir laut dan diselaputi tasik dikenali sebagai Cenla Air.

Pihak China mencatatkan bahawa pada 717 Masihi, Cenla Darat yang dikenali oleh orang Cina sebagai Wen-tan telah mengirimkan utusan ke Cina dan telah menghantar satu pasukan ke Vietnam bagi membantu satu ketua puak bagi menentang China pada 722 Masihi. Tidak catatan China tentang wujudnya perwakilan dari Chenla air. Hal ini berlaku kerana pada masa itu Cenla Air sendiri terbahagi kepada beberapa wilayah yang bebas. Akan tetapi pihak China ada mencatatkan bahawa kota utama Cenla Air itu adalah P’o-lo-ti-po dan pemerintahnya mendakwa berasal daripada keturunan Kaundinya dan Naga Soma, pemerintah pertama kerajaan Funan. Salah seorang daripada pemerintahnya, Baladitya telah dianggap sebagai pemerintah Angkor, kemudiannya sebagai leluhur mereka dengan Kaundinya. Pihak yang berebut kuasa di Cenla Air pada masa itu adalah Dinasti Bulan dan Dinasti Matahari. Dinasti Bulan berpusat di Aninditapura, mana Dinasti Matahari berpusat di Sambhupura.


Sekitar 753 Masihi, Cenla Darat telah mengirim utusan ke China yang dipimpin oleh putera rajanya sendiri. Kemudian beberapa utusan lain telah dihantar iaitu sekitar 771 – 799 Masihi. Namun Cenla Air masih tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan China. Daripada batu bersurat yang ditemui di kawasan Sambhupura (Sambor) bertarikh 770 – 781 Masihi diketahui salah seorang rajanya bernama Jayawarman. Namun tidaklah diketahui bilakah sebenarnya raja seluruh Cenla Air ini ditabalkan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...